5 juta penerima subsidi petrol baharu dikenalpasti
Sebanyak 5 juta menerima subsidi petrol baharu dikenalpasti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penerima terbaharu termasuk golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40% (M40) dan mereka layak utuk Program Subsidi Petrol (PSP), bersama kira-kira tiga juta data PSP daripada kumpulan B40 yang direkodkan.
Katanya, baki lima juta penerima perlu dicari segera memandangkan Kementerian Kewangan memperuntukkan RM2.2 bilion melibatkan lapan juta penerima untuk program itu bagi tahun depan.
Katanya, kumpulan penerima M40 itu dikenali sebagai “bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)” dan pihaknya akan berbincang dengan menteri kewangan mengenai mekanisme khusus bagi tujuan pengumpulan data kumpulan itu.
“Satu pendekatan untuk kutipan data perlu dirangka, untuk B40 dah ada, tapi M40 belum ada dan harus dikenal pasti pendekatan tepat bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya selepas Majlis Penerangan Isu Kepenggunaan dan Semasa (Kupasan Bajet 2020 dan Taklimat Petrol Subsidi Bersasar) hari ini.
Saifuddin yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, berkata pendaftaran untuk penerima daripada golongan B40 dan BSH sehingga kini masih dibuka, manakala tempoh pendaftaran dan semakan bagi kumpulan M40 pula akan dimaklumkan kemudian.
“Kita menerima pelawat yang begitu ramai selepas kita buka portal untuk B40 mendaftar, semak dan kemas kini maklumat dan saya jangka jika kita umum untuk M40 mendaftar, yang secara relatifnya mereka lebih celik IT, ini akan membantu memudahkan kita menjalankan proses pendaftaran.”
Beliau berkata, proses mengumpul data semua penerima yang layak perlu diselesaikan tahun ini juga bagi memastikan mereka dapat menerima bantuan PSP pada suku pertama tahun depan.