Piagam untungkan pimpinan atasan Umno, Pas sahaja
Kerjasama Umno-Pas melalui Piagam Muafakat Nasional disifatkan sekadar menguntungkan pemimpin atasan sahaja, bukan mengangkat martabat Islam.
Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, hakikatnya rata-rata ahli bawahan Pas, terutama di negeri Jelapang Padi itu sudah pun mengambil langkah ‘tawaquf’, iaitu berhenti sebentar daripada mengikuti perkembangan politik.
“Orang bawahan tidak menyambut sangat pun penyatuan ummah tetapi pemimpin tertinggi atasan beriya-iya syok sendiri.
“Saya rasa Pas bernasib baik (meningkat pengaruh) bukan kerana penyatuan tetapi kerana berjaya mewujudkan persepsi tidak baik kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN),” katanya dipetik Suara Keadilan.
Selain itu, Ridzwan juga mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung Pas,Takiyuddin Hassan yang menganggap peristiwa Memali yang mengorbankan 12 syuhada Pas pada 1985 sebagai ‘kecil’.
Menurutnya, kenyataan Takiyuddin itu memperolok-olokkan asas perjuangan parti berkenaan sejak peristiwa Memali
“Pada saya kalau lihat kenyataan Takiyuddin itu, ahli-ahli lama Pas akan terasa hati kerana seolah-olah menghina perjuangan Pas selama ini yang menjadikan Memali isu pokok.
“Kita tahu para veteran Pas sampai sanggup meletakkan jawatan (dalam kerajaan) sebab isu Memali ini isu kezaliman, bukan isu peribadi tetapi kezaliman rejim Umno ketika itu. Tiba-tiba perkara yang menjadi asas boleh dianggap kecil pula,” katanya.
Mengulas ungkapan Presiden Pas, Hj Hadi bahawa wujud titik persamaan antara Umno dan parti itu, beliau menanggap persamaan kedua-duanya hanyalah kebijakan mempergunakan sentimen sempit Melayu dan Islam sahaja.
“Secara jelas, persamaan antara Umno-Pas itu kerana berkongsi sentimen Melayu dan Islam. Namun sebenarnya dari segi nak memahami naratif Melayu Umno dan Pas itu pun berbeza jauh, begitu juga konsep Islam keduanya.
“Ia hanya sebagai helah politik, sebagai penyedap bagi meraih undi orang Melayu. Itu sahaja,” katanya lagi. – RF8 Media