‘Pendekar politik’ titip doa buat Yazid
Pemergian Yazid Ahmad bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap peminat muzik tanah air, ia juga turut menjadi perhatian beberapa pemimpin negara.
Menteri Pertahanan Mohammad Sabu, dalam kenyataan di Facebook menyifatkan pemergian Yazit sebagai kehilangan besar buat dunia seni negara yang menjadi inspirasi kepada pemuzik-pemuzik di negara ini.
Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga bekas pemain drum kumpulan Search itu, Mohammad Sabu turut menghargai sumbangan Yazid yang menurutnya telah menemani rakyat Malaysia melalui muzik.
“Terima kasih di atas ketukan melodi indah yang menggirangkan hari-hari kami selama ini. Irama dan ketukan drum itu tetap akan diabadikan di sanubari rakyat dan penggemar muzik buat selamanya.
“Takziah saya ucapkan buat keluarga, dan kenalan Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman,” katanya.
Berita sedih kehilangan Yazid turut dikongsikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui akaun Facebook rasmi miliknya.
Mereka sebelum ini sempat bertemu apabila Anwar menziarahi allahyarham di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Ramadhan lalu.
Dalam pertemuan tersebut difahamkan mereka banyak berbincang secara peribadai mengenai isu anak seni dan mengenai kesihatan Yazid sendiri.
“Terima berita sedih bekas pemain dram kumpulan Search Yazid Ahmad meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga allahyarham. Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan menempuh dugaan ini.
“Saya mendoakan roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu allahyarham ketika menerima kunjungan Anwar pada ramadhan lalu menganggapnya sebagai satu rahmat.
Sambil menyifatkan Anwar sebagai pendekar politik yang dikaguminya, Yazid turut menganggap kunjungan itu sebagai satu suntikan semula semangat untuk beliau.
“Saya berasa sangat terharu dan terkejut apabila seorang pendekar politik negara yang sangat saya sanjung datang berjumpa saya.
“Pada ketika itu saya rasakan seolah-olah Allah kurniakan rahmat kepada saya.
“Bagi saya, ia perkara di luar kebiasaan kerana beliau sebelum ini merupakan bekas timbalan perdana menteri. Kehadiran beliau menyuntik semula semangat saya,” katanya ketika menerima kunjungan itu.
Yazit meninggal dunia di sisi isteri, anak dan anggota keluarga yang lain semalam ketika usianya mencecah 57 tahun.
Allahyarham telah menghiburkan dunia seni tanah air sejak lebih tiga dekat lalu. – RF8 Media