Harga telur: Zaman Najib lebih tinggi
HANTARAN Facebook bekas Perdana Menteri, Najib Razak dilaman sosial peribadinya Sabtu lalu menerima kritikan dari Jabatan Perkhidmatan veterinar Malaysia.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu menyifatkan perbandingan dibuat Najib Razak mengenai harga telur gred AAA, gred C dan Gred E di ladang ketika ini yang didakwa tinggi sekitar 48 hingga 52 peratus berbanding ketika era pemerintahannya adalah tidak tepat dan tiada asas.
Tegas mereka, harga telur di peringkat ladang bergantung kepada kos input iaitu makanan ayam, gaji pekerja, kos ubatan dan lain-lain. selain itu ia juga bergantung kepada faktor pengeluaran dan luaran lain.
“Kos boleh dan akan berubah jika ada kejadian penyakit dan bencana lain seperti kemarau, jerebu dan banjir.
“Ini bermakna harga boleh turun dan naik bergantung pada keadaan dan masa. Contohnya 70 peratus kos operasi bergantung kepada makanan ayam. Makanan ayam diimport dan harganya bergantung pada kadaran tukaran wang yang turun dan naik.
“Penggunaan maklumat serta data dan membuat perbandingan tidak berasas akan mengelirukan pihak umum dan perkara ini harus dielakkan,” tegas Veterinar.
Terdahulu, Najib cuba mempersoal kenyataan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub sebelum ini yang berkata pengeluar telur ayam bersetuju mengurangkan harga sebanyak 2 sen.
Menurut Najib walaupun pengumuman itu lama dibuat, namun harga telur sekarang masih 40 sen untuk gred AAA, 37 sen untuk gred C dan Gred E 32 sen berbanding sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu iaitu gred AAA serendah 27 sen, gred C berharga 24 sen dan gred E berharga 21 sen.
Sementara itu, Veterinar menjelaskan harga telur di peringkat ladang bergantung kepada kos input iaitu makanan ayam, gaji pekerja, kos ubatan dan lain-lain, Malah harga telur ketika ini jelas mereka adalah lebih murah berbanding 2015 iaitu ketika Najib adalah perdana menteri.
“Apa yang berlaku pada tahun 2015? Mengapa harga telur lebih mahal?
“Jabatan melalui Kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) akan terus berusaha untuk memastikan penghasilan telur ayam yang cukup untuk rakyat Malaysia dengan harga yang kompetitif,” tambah mereka lagi. – RF8 Media