Ekonomi Melayu: Ubah mentaliti subsidi jika mahu berjaya
Naib Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia Cawangan Selangor, Dr Hasan Jamil berpendapat mentaliti kaum Melayu wajib diubah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan mahu meneruskan program memperkasa ekonomi bumiputera.
Menurutnya, kerajaan diterajui Umno tempoh dahulu telah gagal dalam memberi ilmu kepada kaum Melayu sehingga pebagai bantuan yang diberi dianggap sebagai ‘hak ketuanan’ buat selama-lamanya dan bukan galakan untuk berusaha keras menyaingi kaum Cina yang lebih berjaya.
“Selepas merdeka kerajaan lancar Dasar Ekonomi Baru. Pada ketika itu saya fikir Melayu kurang bersedia menampilkan diri mereka dalam dunia berdikari. Mereka perlu dibantu dengan kewangan dan sumber lain tetapi dalam masa yang sama kita alpa dan ketinggalan dalam mendidik bangsa ini.
“Maknanya dulu kita beri ikan, tetapi kita lupa beri pancing. Kalau pun kita beri pancing tetapi ilmu menangkap ikan tidak dibekalkan. Maknanya tiada ilmu seiring subsidi. Sehingga menyebabkan kaum Melayu ini semacam naik lemak (selesa) dan tidak giat berusaha,” kata beliau dipetik Suara Keadilan.
Situasi selesa itu juga, menurut Dr Hasan, berlaku dalam bidang pendidikan sehinggalah konsep pinjaman diperkenalkan. Namun konsep itu ditentang kaum Melayu. Oleh yang demikian katanya, pemberian bantuan pendidikan pada era HARAPAN haruslah berdasarkan ketekunan pelajar dan bukan bergantung kepada kuota Melayu semata-mata sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Kalau dulu biasiswa penuh. Belajar tak berapa pandai pun tiap-tiap semesta duit (biasiswa) masuk. Sekarang kita ubah. Mereka yang dapat kelulusan baik diberi kelonggaran bayar baik pinjaman. Kalau keputusan bagus maka diberi biasiswa penuh (tidak perlu bayar). Kalau kurang cemerlang kena bayar 20 peratus, tidak berapa bagus bayar 50 peratus, kurang bagus bayar 70 peratus.
“Cara ini saya rasa akan beri motivasi kepada pelajar. Jika mereka tidak bersungguh-sungguh maka perlu bayar pinjaman 100 peratus,” katanya.
Dalam bidang perniagaan pula Dr Hasan melihat kurangnya kebertanggungjawaban ahli-ahli perniagaan Melayu yang berjaya terhadap bangsa. Mereka tidak membantu rakan-rakan lain yang sedang meningkat naik. Hal itu, katanya, suatu kelemahan berbanding komuniti perniagaan Cina yang saling bantu-membantu mengangkat perniagaan kaum mereka.
“Bantuan diberi kerajaan begitu besar tetapi tidak disertakan dengan pertanggungjawaban. Adab juga tidak dimasukkan sekali.
“Peranan sebagai usahawan berjaya ialah memberi bantuan balik kepada rakyat. Hal ini tidak ditekankan. Itu menyebabkan ramai usahawan atau peniaga bangsa kita, dia buat (perniagaan) untuk diri dia sahaja. Dan apa yang berlaku kepada generasi (Melayu) di bawah tidak difikirkan.
“Barangkali tiba masanya kita menegur, bila kamu telah berjaya kamu kena wakafkan sebahagian harta kamu kepada generasi di bawah. Bagaimanapun ada Melayu yang melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi (majoriti) yang terlepas itu menyebabkan kerosakan yang banyak kepada masyarakat.
“Manakala bila usahawan ini mengalami masalah maka dibeban kepada rakyat (untuk menyelamatkan syarikat). Dalam konteks kerajaan baharu, hal ini harus menjadi keutamaan untuk diubah bagi memastikan benda itu tidak berulang lagi,” katanya. – RF8 Media