TUN M JANGAN KHIANAT DENGAN CUBA BAWA PIHAK LUAR TENTUKAN HALA TUJU PH





Image result for mahathir dan hadi



Konsensus berhubung kedudukan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 dan kemudian Anwar Ibrahim sebagai penggantinya atau Perdana Menteri ke-8 telah dimuktamadkan dalam Kongres PH yang diadakan di Shah Alam pada 7 April 2018.

Gabungan parti-parti yang menandatangani persetujuan bersama ketika itu ialah PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Menyedari usianya pada waktu itu sudah mencecah 93 tahun, Tun Mahathir kemudiannya  memberitahu beliau memerlukan tempoh selama dua tahun saja memegang jawatan itu.

Katanya, memandangkan beliau pernah ada pengalaman sebagai Perdana Menteri sebelum ini, tempoh dua tahun itu adalah memadai untuknya menyelesaikan tugas menyelamatkan negara, memulihkan ekonomi dan memperbaiki pelbagai kerosakan yang diakibatkan oleh Najib Razak.

Dalam erti kata lain, pengundi yang mengundi PH yang menggunakan simbol PKR pada PRU14 lalu bukan saja sedar tentang kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri interim atau sementara bagi tempoh hanya sekitar dua tahun, tetapi juga sedar Anwar adalah satu-satunya calon pengganti jawatan itu.

Di waktu pengundi membuat pilihan untuk memenangkan PH dengan harapan Tun Mahathir akan jadi Perdana Menteri dan Anwar sebagai pengganti selepasnya, UMNO dan GPS atau Gabungan Parti-Parti Sarawak ketika itu adalah sebahagian daripada komponen BN.

Begitu juga dengan Pas, walaupun parti itu bertanding bersendirian, tujuannya adalah untuk memecahkan undi bagi memberi kelebihan kepada BN untuk terus kekal berkuasa.

Sebab itu, sebaik saja BN kalah PRU14 lantaran menyedari strategi memecahkan undi melalui pertandingan tiga penjuru terbukti tidak menjadi, Pas tidak mengambil masa yang lama untuk bekerjasama secara rasmi dengan UMNO dengan harapan pilihan kali ini mampu membawa semula UMNO kembali ke puncak kuasa.

Pokoknya, UMNO, Pas dan GPS ketika PRU14 lalu bukan saja berada di luar PH, tetapi juga merupakan musuh kepada PH.

Sementara UMNO dan Pas sekarang ini sudah menjalin kerjasama untuk memenangi pilihanraya akan datang, GPS pula adalah sebuah gabungan baru parti-parti di Sarawak  yang ingin berdikari setelah mereka keluar meninggalkan BN sebaik gabungan itu kehilangan kuasanya.

Sekali lagi, baik sebelum PRU14 atau sekarang, ketiga-tiga mereka iaitu Pas, UMNO dan GPS bukanlah ahli gabungan atau sebahagian daripada komponen PH.

Untuk itu, di mana sebenarnya maruah sebahagian pemimpin PH yang tidak malu-malu mahu menagih sokongan daripada Pas, UMNO dan GPS untuk membolehkan kononnya Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal?

Apakah sokongan daripada empat parti dalam PH kepada Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sebelum ini masih belum mencukupi?

Dalam hal ini termasuk tidak bermaruah ialah Tun Mahathir yang menurut dakwaan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg telah menjemput Ahli-Ahli Parlimen GPS menghadiri perjumpaan rahsia bersama Pas dan UMNO di kediamannya pada Selasa lalu?

Sebagai gabungan yang merupakan sebuah kerajaan, Tun Mahathir seharusnya menjaga maruah dan wibawa PH dengan mengutamakan parti-parti dalam gabungannya untuk sebarang perkara berbanding mengharapkan sokongan pihak luar.

Oleh kerana sudah ada ketetapan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh sekitar dua tahun selepas berkuasa, PH dan Tun Mahathir sebaiknya sentiasa berpegang kepada janji tersebut.

Tidak harus ada sesiapa cuba mengkhianati konsensus itu kerana sebarang pengkhianatan bermakna khianat kepada PH dan pilihan pengundi dalam PRU14 lalu.

Bagaimanapun, kiranya ada keperluan untuk Tun Mahathir mahu memanjangkan tempoh khidmatnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya merujuk kembali kepada PH berhubung keinginannya itu.

Adalah tidak beretika, bersikap khianat dan membelakangkan PH jika Tun Mahathir cuba mendapat sokongan Pas, UMNO dan GPS semata-mata untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama atau sehingga habis penggal.

Lebih tidak beretika dan suatu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan kalau sokongan yang dikehendaki daripada Pas, UMNO dan GPS itu bertujuan agar Tun Mahathir dapat memungkiri janji penyerahan kuasa kepada Anwar sebagaimana yang telah dijanjikan serta merupakan konsensus PH.

Maka itu, selain mesti beretika, Tun Mahathir juga harus jujur kepada PH sebagaimana PH sentiasa jujur kepadanya dengan tiada masalah mereka menjadikannya Perdana Menteri buat kali kedua.

Itu pun jika Tun Mahathir masih merupakan seorang manusia yang ada hati budi, ingat tentang jasa dan budi orang lain terhadapnya, bukan semata-mata memikirkan tentang diri, kepentingan dan nafsu rakusnya semata-mata. (Shahbudindotcom 01/08/2019)