Katanya, agensi kerajaan mungkin berminat dalam projek nasional yang dikendalikan oleh DreamEDGE itu selepas melihat kemampuan serta keupayaannya.
“Saya syak syarikat DreamEDGE lakukan banyak perkara dan dilihat berkeupayaan melakukannya.
“Maka, agensi kerajaan lain berminat untuk turut mengambil bahagian.
“Bagaimanapun, bukan saya luluskan tetapi ia sudah dilakukan. Jadi, tidak ada apa-apa yang saya boleh katakan lagi,” tegas Tun Mahathir.
Ketika mengumumkan projek kereta nasional ketiga sebelum ini, Tun Mahathir berkali-kali mengatakan ia tidak akan menggunakan dana awam, sebaliknya melalui sumber kewangan syarikat swasta sepenuhnya.
Menurut beliau, hasrat kerajaan memperkenalkan projek kereta nasional ketiga itu adalah untuk merangsang industri automotif negara agar Malaysia tidak ketinggalan di belakang.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking sebelum ini turut mengesahkan projek itu akan menggunakan 100 peratus dana swasta dan tidak melibatkan wang kerajaan.
Tetapi, Presiden MCA, Wee Ka Siong kemudiannya mendedahkan, DreamEDGE adalah syarikat yang pemegang saham terbesarnya ialah VentureTech Sdn Bhd.
Kata Ka Siong lagi, VentureTech adalah 100 peratus milik MIGHT dan MIGHT pula 100 peratus milik kerajaan.
Jadi, adakah ini bukan duit kerajaan? Soal Ka Siong.
Selain itu, jika kita masih ingat, kerajaan juga pernah mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk penyelidikan dan pembangunan projek kereta nasional ketiga itu.
Walaupun DreamEDGE ada tampil menyatakan angka yang disebut oleh Ka Siong itu tidak berapa tepat, namun pengakuan Tun Mahathir dengan sendirinya telah mengesahkan memang ada agensi kerajaan terlibat dan dana awam digunakan untuk projek tersebut.
Kenapa kerajaan tidak bersikap jujur kepada rakyat?
Yang lebih memalukan lagi ialah pengakuan Tun Mahathir bahawa bukan beliau yang terlibat sehingga terjadinya pemungkiran janji di mana ada agensi kerajaan dan dana awam digunakan untuk projek kerata nasional ketiga itu.
Maka, siapa yang terlibat?
Adakah ia keputusan yang dibuat oleh Lim Guan Eng dan Darell Leiking?
Adakah Lim Guan Eng dan Darell Leiking tidak merujuk atau membuat keputusan membelakangkan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri?
Bukankah sepatutnya projek kereta nasional ini dibincangkan dalam mesyuarat kabinet sebelum diluluskan?
Pertanyaan lain, setelah mengetahui ada agensi kerajaan dan dana awam dilibatkan dalam projek tersebut dan ia jelas tidak seperti mana yang dijanjikan kepada rakyat sebelum ini, apakah Perdana Menteri tidak boleh berbuat apa-apa untuk membetulkannya?
Apakah Perdana Menteri kita tiada kuasa atau semua ini hanya helah belaka? (Shahbudindotcom 14/08/2019)