Keutamaan kepada penguasaan Bahasa Malaysia, bukan Jawi
Sewaktu Pakatan Harapan (PH) berkempen untuk menumbangkan BN, pemimpin gabungan itu berjanji untuk memberi tumpuan kepada isu-isu utama.
Kepada penyokong yang Islamis istilah fiqh aula’iyat diuar-uarkan, iaitu mengutamakan isu-isu yang mengancam demokrasi seperti penyelewengan, rasuah, kemiskinan dan sebagainya.
Namun apabila berjaya memerintah maka isu bahasa, kaum dan lain-lain mengganggu pentadbiran kerajaan PH.
Sehubungan itu, Penasihat Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mengingatkan keutamaan perjuangan PH dalam isu bahasa harus ditujukan kepada kempen penguasaan Bahasa Malaysia (BM) dan bukannya membahaskan isu pengajaran Jawi atau khat.
“Kita tidak boleh mempersoalkan status Bahasa Malaysia. Penting untuk menegakkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.
“Selepas itu, jika mahu, kita boleh perbaiki pengunaan bahasa-bahasa lain jika dibenarkan secara adil.
“Dengan itu (tumpuan untuk menguasai BM) isu-isu lain yang lebih kecil, seperti khat dan Jawi, menjadi remeh,” kata anggota parlimen Port Dickson selepas menyampaikan ucapan di Konvensyen Motivator Profesional Malaysia di Shah Alam semalam.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan beliau bukan tidak bersetuju dengan rancangan kementerian pendidikan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat di sekolah vernakular Cina dan India.
“Saya tidak kata yang saya tidak sokong. Bagi saya, keutamaan adalah untuk mengukuhkan penguasaan bahasa.
“Tidak ada kompromi mengenai perkara itu,” katanya dipetik.
Anwar selanjutnya menggesa orang Melayu untuk melangkah keluar dari zon selesa dan lebih terbuka untuk mempelajari bahasa-bahasa lain bagi membawa perubahan.
Terdahulu menerusi ucapannya, Anwar berkata beliau mempertahankan pendiriannya mengenai kepentingan belajar bahasa Inggeris dan Mandarin, di samping menguasai bahasa Malaysia.
Katanya lagi, walaupun bahasa Melayu diperlukan dalam pembentukan teras jati diri budaya rakyat Malaysia, namun bahasa Inggeris dan Mandarin merupakan bahasa ekonomi serta bidang-bidang penting lainnya. – RF8 Media