Tahun ini negara akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-62.
Tetapi, apa yang kita rasa pada tahun ini menjelang ketibaan tarikh 31 Ogos?
Kenapa tiada sambutan bulan kemerdekaan?
Kenapa tiada kempen memasang bendera di kenderaan dan juga kediaman?
Melihat kepada pelbagai isu perkauman dan agama yang semakin banyak melintas dalam negara kebelakangan ini, tentu sebahagian besar daripada kita berasa rimas dengannya.
Lebih-lebih ia berlaku di bulan kemerdekaan di mana kita semua sepatutnya bersatu hati meraikan persamaan serta meminimakan segala perbezaan yang ada.
Kita tidak akan mampu bergerak ke depan dan menuju kemajuan jika sentiasa dibebankan dengan isu perkauman dan agama yang sempit dan memualkan sebegini.
Dalam hal ini, selain menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan yang ternyata gagal dalam peranannya, kenapa menteri berkaitan komunikasi dan multimedia yang biasanya dipertanggungjawabkan dalam perkara sambutan kemerdekaan juga seolah-olah tiada berperanan?
Apakah erti kemerdekaan pada tahun ini jika sambutannya ketika negara lebih diselubungi dengan isu perkauman dan agama yang sempit dan keterlaluan? (Shahbudindotcom 13/08/2019)