Sejak kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meratifikasi konvensyen antarabangsa Statut Rom pada April lalu pelbagai teori berhubung ‘deep state’ (daulah terpendam) yang mahu mengkucar-kacirkan pentadbiran timbul.
Terbaharu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi ancaman daulah terpendam yang mampu mengulingkan kerajaan PH sekiranya tersalah langkah.
Malah para penganut teori konspirasi menganggap isu pengajaran khat jawi di sekolah vernakular dan pindaan enakmen agama Islam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga merupakan percaturan daulah berkenaan.
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi Jameson Tan berpendapat daulah terpendam tidak begitu mudah untuk menukar kerajaan kecuali dengan penglibatan kuasa-kuasa besar. Dalam konteks Malaysia pemimpin yang memerintah seperti Tun Mahathir dan bakal pengganti Anwar Ibrahim amat dikagumi oleh dunia yang menyukarkan mana-mana kuasa besar menyokong penggulingan pemerintah yang sah.
Namun, baginya daulah terpendam masih boleh mengurangkan keberkesanan pentadbiran PH untuk seterusnya ditolak rakyat pada pilihan raya umum ke 15.
“Isu-isu khat dan agama baru-baru ini adalah isu sensitif dan mampu memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum. Bagi saya, semua pihak yang terlibat amat wajar duduk berunding dan tidak mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati mana-mana kaum.
“Saya berpendapat mungkin ada peranan deep state dalam isu-isu ini untuk ‘menganggu’ pentadbiran Kerajaan PH, cuma sejauh mana peranan mereka kita tidak pasti,” katanya.
Jameson menambah, usaha mengurangkan kestabilan kerajaan PH akan memberi impak kepada kemasukan pelaburan asing. Sekiranya pelabur kurang yakin menanam modal maka usaha kerajaan menambah peluang pekerjaan tidak akan berjaya, hal itu katanya akan menaikkan kritikan rakyat.
Menurut Jameson, antara cara mudah mengurangkan kestabilan kerajaan ialah dengan memainkan isu peralihan jawatan perdana menteri setiap minggu sehingga mewujudkan kecurigaan melampau.
“Dalam hal ini (peralihan kuasa) semua pelabur asing inginkan satu proses yang sempurna dan harus diadakan pada Mei 2020. Ini akan melicinkan proses perancangan dan pentadbiran bagi semua pihak, sama ada kerajaan mahu pun golongan usahawan.
“Oleh kerana isu peralihan kuasa ini belum diselesaikan dengan penetapan tarikh hingga hari ini, maka akan wujudlah usaha deep state untuk mengeruhkan keadaan.
“Semua pihak menjangka bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri pada bulan Mei 2020. Golongan usahawan sedang membuat perancangan berdasarkan ramalan itu.
“Tetapi kalau ada apa-apa masalah yang timbul sebelum tarikh itu, maka ekonomi akan mengalami satu kejutan dan ini bukanlah satu perkara yang baik kerana ia boleh membahayakan ekonomi Malaysia. Saya harap semua perkara akan berjalan dengan sempurna dalam proses peralihan kuasa ini,” kata Jameson lagi. – RF8 Media