Anasir perkauman cuba runtuhkan kerajaan PH – Lim Kit Siang
Sampai ke mana perkauman di Malaysia akan dimainkan oleh pembangkang. Sehingga kerajaan Pakatan Harapan berpecah?
Namun bersama perpecahan itu adalah rasa tidak puas hati meluap-luap pelbagai kaum. Malaysia boleh jadi huru-hara dan menjadi negara gagal ditangan pemerintahan semula BN bersama Pas.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengingatkan rakyat agar bangkit menentang anasir-anasir yang mengancam memecah belahkan perpaduan rakyat di negara ini.
Beliau berkata mereka sebaliknya harus kembali bersatu untuk membina sebuah Malaysia Baharu yang akan menjadi negara bertaraf dunia yang memupuk perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan PH tidak boleh melupakan objektif tersebut apatah lagi hanyut dalam permainan pembangkang.
“Kerajaan gabungan PH di Putrajaya telah berjaya mengharungi selama 15 bulan pelbagai tekanan dan ketegangan serta percanggahan dan kontroversi ke arah membina Malaysia Baharu.
“Tetapi ini hanyalah ujian kecil kerana ia mesti dapat bertahan dan bersatu serta teguh menghadapi cabaran lebih besar dalam misi nasional untuk membina Malaysia Baharu dengan memenangi pilihan raya umum ke-15 dan ke-16,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata, ada pihak yang tidak menjangkakan bahawa kerajaan PH – gabungan empat parti politik dengan sejarah dan ideologi yang berlainan – dapat bertahan lebih daripada beberapa bulan.
Oleh itu, apabila kerajaan masih berkuasa maka mereka cuba meruntuhkannya dengan isu-isu perkauman.
“Tetapi ia telah membuktikan bahawa jangkaan itu salah malahan gabungan itu berjaya menyatukan rakyat untuk memacu negara dengan mengharungi detik-detik yang mencabar ke arah Malaysia Baharu.
“Bagaimanapun, ini adalah misi nasional yang melibatkan lebih daripada satu pilihan raya umum untuk mencapainya,” katanya lagi. – RF8 Media