Tetapkan tarikh peralihan kuasa, sekat spekulasi – Penganalisis
Penganalisis ekonomi Jameson Tan berpendapat tarikh peralihan kuasa antara perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kepada penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dinyatakan secara jelas agar tidak menimbulkan spekulasi berlebihan dan mengurangkan keyakinan pelabur ke atas politik Malaysia.
Katanya, dengan tarikh yang jelas, imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan lebih baik menggambarkan peralihan kuasa dilaksanakan secara tertib serta lancar.
“Pada pendapat saya tarikh Anwar Ibrahim mengambil-alih kuasa sebagai PM patut dinyatakan secepat mungkin samada bulan Mei, Jun ataupun Julai tahun depan.
“Tarikh tersebut harus dinyatakan dengan jelas dan tepat. Situasi ekonomi Malaysia akan bertambah baik apabila ketidakpastian yang menyelubungi peristiwa itu dihapuskan. Ini amat penting untuk golongan usahawan dan para pelabur asing yang memang tidak sukakan situasi kabur,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Mengulas cadangan Tun Mahathir agar Melayu bersatu dan menyertai parti pemerintah beliau berpendapat masanya telah tiba untuk PH memikirkan strategi bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) apabila pembangkang berasaskan Melayu, Umno dan Pas bergabung.
“Seruan PM kepada ahli-ahli parti Umno dan Pas untuk menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) demi matlamat menyatukan dan menguatkan kuasa PPBM adalah langkah yang bijak untuk menguatkan kuasa PH. Sebab gandingan Umno-Pas ada kemungkinan menjejaskan sokongan Melayu untuk PH pada PRU 15 nanti.
“Oleh itu, PPBM yang cukup kuat dan dapat meraih sokongan majoriti Melayu akan menstabilkan PH dan ini adalah satu perkara yang baik,” katanya.
Jameson bagaimanapun menegaskan bahawa pada ketika ini, perkara yang paling penting untuk Malaysia ialah hal-ehwal ekonomi dan kewangan.
Beliau memberi amaran kerana terdapat banyak percaturan politik yang wujud di kalangan ahli-ahli politik BN mahupun PH dan banyak masa telah dibazirkan. Hal itu menurutnya tidak baik untuk kemajuan ekonomi negara.