PETALING JAYA: Desas-desus Mohamed Azmin Ali akan menyertai Gerakan dilihat berasas, selepas timbulnya maklumat mengenai pertemuan antara seorang pemimpin PKR dan pimpinan Gerakan bulan lepas, beberapa hari selepas pengakuan mengejutkan berkaitan video seks sejenis yang menyasarkan menteri hal ehwal ekonomi itu.
Berdasarkan perbualan dengan seorang sumber yang dekat dengan pimpinan PKR, FMT kini boleh mengesahkan pemimpin itu, seorang veteran parti yang aktif sejak zaman reformasi, mengadakan perbincangan dengan pimpinan Gerakan mengenai kemungkinan menyertai bekas parti Barisan Nasional itu.
“Perbincangan ini sudah berlangsung selama sebulan,” kata sumber itu.
“Ia rancangan untuk melarikan diri. Mereka menjangkakan keadaan akan bertambah buruk.”
Sumber itu merujuk kepada pertelagahan antara Azmin dan Presiden Anwar Ibrahim selepas beliau mencadangkan timbalannya itu melepaskan jawatan menteri jika terbukti benar dia dalam video seks sejenis yang tular pada awal bulan lepas.
Utusan Malaysia minggu ini melaporkan Azmin mungkin akan meyertai Gerakan, salah satu parti BN yang meninggalkan bekas gabungan pemerintah itu selepas kekalahan bersejarah tahun lepas.
Sumber mengesahkan laporan itu, mengatakan Gerakan tempat yang sesuai untuk Azmin dan rakan-rakan mendarat “jika mereka terpaksa terjun ke tempat yang lebih selamat”.
“Lagipun, perlembagaan Gerakan dari segi keahlian seperti PRK: Ia berbilang kaum dan menyeru layanan yang adil,” katanya kepada FMT.