Ahli Umno mahu pimpinan parti memberikan penjelasan yang lebih terperinci berhubung bentuk kerjasama parti itu dengan PAS yang akan dimeterai tidak lama lagi, kata pemimpin di akar umbi.
Kata mereka, ahli Umno masih kabur dengan bentuk kerjasama itu namun mereka menyokong usaha atas nama perpaduan ummah, demi masa depan dan kelangsungan parti Melayu.
Tanda tanya tentang bentuk kerjasama Umno dan PAS ini adalah antara perkara yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat bahagian Umno yang sedang berlangsung sehingga 15 Ogos ini, tambah mereka.
“Ada yang menganggap dua parti ini akan bergabung, bentuk satu parti baru. Ada juga yang membangkitkan soal pembahagian kerusi (pilihan raya).
“Macam di Sepang ini ada satu Parlimen dan tiga DUN. Sejak tiga pilihan raya umum lepas, ada kerusi yang sering bertukar parti.
“Jadi mereka persoalkan dalam keadaan sekarang ini, parti mana yang akan bertanding,” kata Ketua Umno Bahagian Sepang, Noorazli Said ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Awal minggu ini, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan Umno supaya kerjasama dengan PAS jangan sampai parti itu hilang sokongan bukan Melayu.
Umno dan PAS akan memeterai perjanjian kerjasama pada 14 September ini, membentuk satu pakatan pembangkang Melayu-Islam baharu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15, selepas dokumen itu dipersetujui minggu lalu.
Piagam itu akan ditandatangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Umno menjalin kerjasama dengan PAS sebagai rakan strategik baru selepas Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setahun lalu. Kekalahan itu menyebabkan satu demi satu parti komponen BN meninggalkan gabungan.
BN kini dianggotai Umno, MCA dan MIC berbanding 14 parti komponen sebelum PRU14.
Kerjasama Umno dan PAS ini, sekiranya dilanjutkan dalam PRU15, akan memberi kesan pada lebih kurang 30 kerusi Parlimen yang jumlah undi dua parti itu melebihi undi yang diraih calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.
Sementara itu, perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor, Mohamad Khairi Mohammed Shah berkata, kerjasama dengan PAS tidak akan berkesan sekiranya Umno sendiri gagal untuk memperbaiki masalah dalamannya sendiri.
“Rakyat lihat orang Umno ini selalu berantakan sebab kejar jawatan, harta dan menjadikan Umno eksklusif.
“Jadinya, soal perpaduan ummah dan usaha untuk memperkukuhkan parti dalam keadaan sekarang ini, kedua-duanya perlu jalan seiringan,” katanya.
Pada mesyuarat Umno Bahagian Kuala Selangor pada 13 Julai lalu, Khairi membentangkan usul menyeru pemimpin dan ahli Umno untuk kembali semula kepada roh perjuangan parti, selain mengekalkan kesatuan dalam parti.
Sentimen di sesetengah bahagian itu bagaimanapun tidak dirasai misalnya di Sabak Bernam, Selangor.
Ketua Umno Cawangan Bagan Terap, Abdul Razak Mohd Ghazali berkata, Umno Sabak Bernam sudah menjalin kerjasama dengan PAS lebih awal sebelum pimpinan atasan mula menggerakkan usaha ke arah perpaduan ummah.
“Mungkin disebabkan kita bermula dari bawah, tiada kedengaran sebarang penentangan.
“Rata-rata perwakilan menyatakan sokongan yang baik dengan harapan penyatuan ummah ini akan membawa kemenangan terutamanya kemenangan politik,” katanya.