Isytihar harta MP kembalikan keyakinan pemodal asing
Pelabur asing akan lebih yakin untuk menanam modal di Malaysia berikutan lulusnya Rang Undang-undang mewajibkan semua ahli parlimen mengisytihar harta.
Menurut ADUN Sekinchan Ng Suee Lim, persepsi sebelum ini bahawa Malaysia dibelenggu rasuah dalam kalangan ahli politik yang mengambil komisen telah memberi imej negatif dalam kalangan pemodal asing
“Rang Undang-undang itu menunjukkan siapa yang lebih telus dan amanah (antara BN dan PH).
“Langkah pengisytiharaan harta membuktikan Kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang bersih, amanah, telus dan berwibawa.
“Ini akan membolehkan negara Malaysia maju ke depan sambil menarik banyak lagi pelaburan asing kerana masyarakat antarabangsa akan memberi penghormatan kepada kita,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Tambah Ng, dengan undang-undang pengisytiharaan harta maka tiada lagi wakil rakyat yang akan berani menyembunyikan harta yang tidak sah kerana mereka akan berhadapan dengan hukuman penjara.
“Beginilah caranya pentadbiran sebuah negara demokrasi yang bermaruah patut dipimpin.
“Kita mesti mencapai status negara dunia pertama supaya negara kita akan menjadi yang terunggul di pentas dunia. Sudah lama kita terjerat dalam status negara dunia ketiga. Kita harus kikiskan imej itu untuk kebaikan rakyat dan negara .
“Juga had umur mengundi diturunkan kepada usia 18 akan diluluskan tidak lama lagi setelah bacaan kedua untuk Rang Undang-undang tersebut akan diadakan pada 16 Julai ini. Semua langkah-langkah yang diusahakan oleh Kerajaan PH ini adalah untuk membawa Malaysia mengemudi cabaran alaf baru,” sambungnya.