Pihak polis dilaporkan telah mengenalpasti dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati wujud konspirasi tertentu dalam pembikinan video itu yang bertujuan untuk menjatuhkan seseorang.
“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua aspek iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.
“Dalam kes ini, kami mengesan terdapat konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks berkenaan,” katanya sebagaimana dilaporkan media.
Setelah lebih sebulan isu video ini menjadi bualan masyarakat dan setelah salah seorang yang menjadi pelakunya, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui beliau adalah lelaki dalam tayangan itu dan pasangannya adalah Azmin, pihak polis akhirnya mula memberi bayangan bahawa siasatan mereka sudah menampakkan perkembangannya.
Berdasarkan kenyataan Abdul Hamid, jelas bahawa siasatan polis ialah untuk mengesan dalang di sebalik pembikinan dan mereka menyebarkan video tersebut.
Apa maksud dalang di sebalik pembikinan video itu?
Adakah ia bermaksud mereka yang merakam dan memasang kamera sehingga kejadian itu dapat dirakam atau mereka yang mengedit dan memotong-motong video berkenaan untuk diviralkan di media sosial?
Jika itu yang disiasat, adakah ini bermakna video itu adalah tulen dan asli?
Kenapa dalam hal ini pihak polis tidak mengumumkan siasatan berkenaan sama ada video itu tulen atau sebaliknya?
Adakah dengan dalang di sebalik pembikinan yang disiasat ia bermaksud pelaku dalam video berkenaan adalah benar-benar seperti yang didakwa oleh Haziq?
Sslain itu, pihak polis juga dilaporkan sedang menyiasat mereka yang mengedarkan video itu yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan seseorang.
Isu yang lebih penting di sini sebenarnya ialah bukan tentang penyebaran video itu, tetapi siapakah dua pelakunya yang sebenar?
Kalau yang menyebarkannya disiasat, ditahan dan didakwa di mahkamah, bagaimana dengan pelaku-pelaku yang melakukan hubungan seks sejenis itu yang juga merupakan suatu kesalahan dari segi undang-undang?
Adakah mereka tidak dianggap bersalah atau kesalahannya dinilai lebih kecil berbanding mereka yang menyebarkannya?
Meskipun semua pihak mengalu-alukan hasil siasatan pihak polis, namun di samping dua aspek siasatan yang disebut oleh Abdul Hamid iaitu dalang di sebalik pembikinan dan mereka yang menyebarkannya, rakyat secara umumnya lebih ingin tahu tentang ketulenan dan pelaku-pelaku sebenar dalam tayangan video itu.
Harap-harap pihak polis tidak lupa memberitahu kepada rakyat apa yang benar mengenai perkara tersebut. (Shahbudindotcom 14/07/2019)