Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengusik rakan sejawatannya dari PAS, Abdul Hadi Awang apabila mendakwa pengisytiharan harta merupakan idea komunis dan sosialis.
"Pertama, dia kena bagitahu teori yang mana yang dalam (buku Karl Marx) Das Kapital yang menyebut ada asset declaration?
"Kalau isytihar harta itu bermaksud (dalam al-Quran) untuk bermewah, berbangga-bangga, tentulah ditolak," katanya ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Abdul Hadi.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu majlis anjuran PKR di Seremban.
Das Kapital merupakan buku yang dikarang oleh pengasas komunis, Karl Marx pada lewat abad ke-19 dan diterima sebagai asas dalam ideologi berkenaan.
Awal hari ini, Abdul Hadi mendakwa pengisytiharan harta bagi anggota parlimen merupakan sebahagian daripada teori komunis dan sosialis.
Anggota Parlimen Marang itu juga berkata cadangan untuk mengisytiharkan harta "dibayangi" oleh pengaruh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Anwar berkata beliau mendapati adalah aneh apabila PAS enggan menyokong usaha kerajaan mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta.
"Di parlimen ia cakap pasal ketelusan, cakap pasal antirasuah. Tapi takut (isytihar harta). Dia beri alasan komunis. Saya pernah baca Das Kapital saya tidak dapat lihat ada (sebut tentang isytihar harta)," ujarnya.
Tambahnya, tujuan mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta adalah untuk memastikan kekayaan yang dikumpulkan mereka dilakukan secara sah.
Beliau berkata apabila Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah, perkara pertama dilakukan adalah merekodkan harta keseluruhan keluarganya untuk menunjukkan ketelusan.
"Isytihar harta ini untuk memastikan harta yang diperoleh itu adalah secara halal dan teratur. Dan tidak ambil tanah, balak, saham atau projek. Sama ada dia itu Umno, PKR, DAP atau PAS.
"Kalau kita enggan untuk isytihar, orang akan tanya kenapa ada beberapa pemimpin PAS bimbang kerana bila didedahkan kekayaan itu terlalu banyak.
"Ada tanah? balak? saham?" soalnya sambil menambah beliau menyokong usul pengisytiharan harta dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.