‘Usul undi tidak percaya’ hanya imaginasi karut laskar siber musuh – Kit Siang


Laskar siber upahan pembangkang semakin giat menyebarkan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai tuduhan palsu dan tohmahan berniat jahat.

Terbaharu, mereka mendakwa kononnya akan muncul usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang Parlimen Julai depan.

Menyifatkan ia sebagai “imaginasi karut laskar siber dan pengkomplot jahat”, Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata perkara berkenaan tidak akan berlaku.

“Kebenaran akan terserlah bulan depan, usul undi tidak percaya terhadap Mahathir di Parlimen hanyalah rekaan imaginasi karut laskar siber dan pengkomplot jahat,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang dalam pada itu berkata kerajaan Pakatan Harapan mengalami minggu paling buruk sejak menjadi kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Pun begitu, katanya terdapat berita baik yang wajar diperkatakan, antaranya peningkatan kedudukan lima universiti awam dalam senarai terkini Laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 (WUR2020).

“Tidak dinafikan, apa yang lebih penting daripada kedudukan (ranking) adalah kemampuan kita untuk menghasilkan para graduan yang menyumbang kepada masyarakat, mengambil berat tentang perpaduan nasional, persekitaran, dan bertimbang rasa kepada orang lain serta mempunyai kesungguhan untuk mentrasformasikan Malaysia menjadi sebuah negara terulung di dunia,” katanya.

Universiti Malaya (UM), universiti tertua di Malaysia disenaraikan antara 70 universiti terbaik di dunia, berbanding tempat ke-87 pada tahun lalu.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mencapai peningkatan tertinggi dengan melonjak 43 tempat, menjadikan kedudukan terkini di tempat ke-159, berbanding 202 sebelum ini.

Tiga lagi UA menunjukkan peningkatan baik ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ke-160: Universiti Sains Malaysia (USM) ke-165 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-217.

Selain tentang kedudukan universiti awam yang membanggakan, Kit Siang turut mengalu-alukan pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasukan petugas khas untuk menyiasat mengenai kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo akan diumumkan minggu depan.

Muhyiddin dilapor media sebagai berkata, pasukan pasukan petugas khas yang dilantik itu akan diberi mandat selama enam bulan untuk membuat siasatan dan selepas itu membentangkan dapatannya kepada Jemaah Menteri.