Terengganu muflis jika pusat gagal pantau penggunaan royalti
Terengganu akan muflis jika kerajaan negeri pimpinan PAS itu terus bergantung pada bayaran royalti petroleum untuk menguruskan kewangan negeri, kata Pakatan Harapan (PH) Terengganu.
Timbalan pengerusinya Azan Ismail berkata PH melihat kerajaan negeri terlalu bergantung pada dana daripada kerajaan pusat dan tidak mengusahakan sumber baharu untuk menambah pendapatan negeri.
“Terengganu cuma bergantung ke atas sumber royalti minyak dan gasnya sekitar 90 peratus setahun,” katanya ketika diwawancara The Malaysian Insight di negeri itu.
Azan yang juga pengerusi PKR negeri berkata belanjawan negeri tahun lepas mencatatkan peruntukan terimaan hasil minyak sebanyak RM1.7 bilion.
Jelasnya, ia bermakna hasil kerajaan negeri seperti cukai pintu, perlombongan, perhutanan hanya sekitar RM300 juta hingga RM400 juta sahaja.
“Ini beri gambaran yang sangat menakutkan bahawa sekiranya hasil minyak petroleum sudah tiada Terengganu sudah tentu akan menjadi negeri terawal yang diistihar muflis kerana tidak mampu menanggung belanjawan negeri tahunan,” katanya.
Beliau berkata, dana royalti diterima itu sepatutnya hanya satu bonus di samping pendapatan sedia ada sebagai kelebihan untuk meningkatkan ekonomi dan menangani kemiskinan negeri tersebut.
“Bayangkan jika hasil kerajaan negeri setanding dengan negeri lain, ditambah dengan perolehan dana petroleum ia boleh mengukuhkan kedudukan kewangan Terengganu.
“Terengganu boleh uruskan pembangunan negerinya, pendidikan, kesihatan dan menambah baik prasarana,” katanya lagi ketika ditemui di negeri itu.
Selain perbelanjaan untuk tujuan itu, dana berkenaan juga boleh disalurkan sebagai perunttukan untuk diberi secara percuma untuk anak jati negeri itu, katanya.
Tambah Azan, beliau kesal kerana taraf ekonomi rakyat masih tidak berubah sejak Terengganu menerima royalti minyak dalam bentuk wang ehsan dari kerajaan persekutuan, 20 tahun lalu.
“Terengganu kekal sebagai negeri ketiga miskin. Perkembangan mendatar saja kita cuma lihat pertambahan penduduk dan perumahan,” katanya.
Pentadbiran PAS tidak dapat mengawal bayaran wang ehsan tersebut sewaktu berjaya menguasai Terengganu buat kali pertama dalam pilihan raya umum 1999.
Dana berkenaan sebaliknya disalurkan melalui jawatankuasa dikawal Barisan Nasional (BN) kerana parti kerajaan persekutuan itu bimbang ia digunakan untuk menguatkan parti pembangkang.
Ia disalurkan semula sebagai wang ehsan apabila Terangganu jatuh semula ke tangan BN dan membolehkannya menceburi pelaburan melalui Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA).
Dana kedaulatan itu diubah menjadi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang seterusnya dibelit kontroversi dan menjadi fokus siasatan skandal kewangan terbesar dunia.
Terengganu kembali ditadbir PAS selepas pilihan raya umum tahun lalu dan dijanjikan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk menerima royalti dari hasil minyak tersebut.
Pentadbiran PAS yang dipimpin Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar menerima bayaran royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019.
Pembayaran secara terus sebanyak tiga kali itu berjumlah RM450 juta, daripada anggaran keseluruhan bernilai RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.
Baki bayaran seterusnya dijangka akan dibuat pada September.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight pada April lalu, Ahmad Samsuri berkata dana yang diterima itu antara lain akan digunakan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.
Selain emolumen, ia juga akan digunakan untuk membiaya projek dibangunkan kerajaan lalu serta sebahagian hutang kepada kerajaan persekutuan yang dilaporkan berjumlah RM893 juta.
Namun menurut Azan, kerajaan PAS tidak sepatutnya membayar gaji dengan menggunakan wang royalti kerana bercanggah dengan prinsip akauntabiliti kerajaan negeri.
Beliau yang terkejut dengan tindakan itu berkata, ia sangat berisiko kerana kerajaan negeri tidak akan mampu membayar gaji apabila hasil petroleum berkurangan.
“Pengakuan menteri besar membayar gaji kakitangan awam sangat mengejutkan kerana dana royalti minyak patut digunakan bagi tujuan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat bukan untuk bayar gaji.
“Sekiranya duit royalti berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dunia atau kurang produksi pengeluaran minyak dan gas atau berlaku krisis atau lebih teruk sumber itu habis di Terengganu,” katanya.