TAK PERLU BALING MIC UNTUK MENEGUR


W.FAUDZIN.NS


YB HANIPA TIDAK PERLU BALING MIC UNTUK MENEGUR

Tahniah YB Hanipa yg telah merasai denyut nadi kami di bawah yg sentiasa mengharapkan yang terbaik dari kerajaan PH. Walaupun hanya Timbalan Menteri dan bukan Presiden Amanah, beliau dilihat lebih hampir dengan kami. Cukuplah sekadar apa yang YB ungkapkan, itu sudah melegakan kami kerana di dalam kerajaan PH masih ada timbalan menteri yang waras dan tidak lupa kepada janji-janji kita.

YB tidak perlu baling mic untuk menyatakan kebenaran. Tak guna baling Mic bila tiada kuasa, tapi bila dah jadi menteri mulut 'terkunci'.

Ikuti komen YB Hanipa tentang isu ini:

KENYATAAN AKHBAR.

1. Atas kapasiti saya sebagai Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri ( JPM ( hal ehwal undang-undang), saya telah menerima agak banyak mesej dan aduan dari pelbagai pihak mengenai pelantikan saudari Latheefah Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) yang baru.

2. Saya berani menyatakan majoriti mesej dan aduan yang saya terima, pada dasarnya, tidak mempertikaikan kelayakan atau kewibawaan saudari Latheefah untuk memegang jawatan penting tersebut. Saya percaya majoriti rakyat boleh bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri tentang mengapa YAB memilih saudari Latheefa sebagai calon bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sebelum ini , yang memilih untuk berhenti lebih awal dari tempoh yang sepatutnya. YAB PM menggunakan alasan ketegasan saudari Lateefah, antara lain, sebagai alasan kepada pelantikannya.

3. Aduan yang saya terima kebanyakannya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan tersebut. Antaranya, isu dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya ( the alleged absence of transparency and proper consultation ), isu dakwaan perlanggaran janji bertulis di dalam buku Manifesto Pakatan Harapan ( PH) , isu ketiadaan perbincangan dalam Kabinet dan/atau Majlis Presiden PH , isu kebimbangan " lack of impartiality" di pihak saudari Latheefa, mengambil kira latarbelakang beliau, dan pelbagai isu yang lain.

4. Beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan Bersih 2.0 juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan tersebut. Secara jujur ,saya melihat ada merit yang agak kuat pada alasan mereka.

5. Ada juga pihak yang menyatakan, mengambil kira perkiraan latar-belakang saudari Latheefah sebagai peguam hak asasi manusia sebelum ini, maka jawatan yang lebih sesuai dan wajar bagi beliau adalah sebagai Ketua Suruhanjaya di badan Hak Asasi Manusia Malaysia ( SUHAKAM) dan bukannya SPRM.

5. Sebagai sebuah Kerajaan yang amat peka pada ruh dan prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang, Kerajaan di bawah YAB PM , saya percaya, tidak akan perlecehkan begitu sahaja "suara-suara" tersebut. Saya juga percaya Kerajaan Malaysia baru ini bukanlah Kerajaan yang memandang" enteng"( mudah) terhadap janji-janji dalam manifesto seperti mungkin Kerajaan sebelum ini.

6. Saya juga percaya YAB PM juga penuh sedar bahawa beliau kini memimpin Malaysia Baru di bawah PH dan bukan memimpin Malaysia di bawah order lama BN. Ini boleh dilihat dalam pelbagai insiden sebelum ini misalnya dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ( PAC ) .

6. Oleh yang demikian, untuk berlaku adil pada YAB PM, pihak-pihak juga sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan PM juga ada bersamanya keistimewaan -keistimewaan tertentu ( certain privileges ) yang mungkin tidak ada pada jawatan lain. Ya, sudah tentu kita semua tidak mahu melihat YAB PM "menyalahgunakan" hak istimewa tersebut dan saya juga tidak nampak bagaimana ia boleh "disalahgunakan". Justeru itu saya yakin dan percaya YAB PM dan para anggota kabinetnya serta pemimpin tertinggi PH insyaAllah akan berjaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan berhemah.

7 Jun 2019.
YB Mohamed Hanipa Maidin.
Timbalan Menteri JPM
( Hal Ehwal Undang-Undang).