Piagam Umno-Pas jadi duri dalam daging – Penganalisis
Kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional dijangka hanya akan menjadi duri dalam daging dan bukannya satu talian hayat seperti rancangan parti Islam terbabit, kata penganalisis.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Center Azlan Zainal menjelaskan ini memandangkan gabungan Umno dan PAS tidak lebih sekadar “kerjasama demi kuasa untuk kembali berkuasa.”
Jelasnya kedua-dua parti itu masih tidak dapat menguruskan perbezaan ideologi serta pertembungan sentimen politik, manakala dalam kalangan ahli juga masih belum dapat memaafkan satu sama lain.
Isu kerjasama itu dijangka akan menjadi isu hangat dalam Muktamar PAS ke-65 di Kuantan minggu ini dan akan dimasukkan dalam piagam kerjasama dengan Umno.
“Piagam boleh terbentuk tetapi ia masih kekal sekadar gimik sehingga setiap parti mampu mengkesampingkan kepentingan ideologi dan pertembungan sentimen politik selama ini.
“Pasca PRU14, walaupun di peringkat pimpinan boleh saling sepakat, menerima dan boleh memaafkan namun ia tidak terjadi di peringkat akar umbi secara total,” katanya.
Azlan menjelaskan ahli PAS di negeri pantai timur, terutamanya ahli lama, mempunyai sejarah lama pertembungan dengan Umno, berbeza dengan penerimaan ahli di pantai barat.
“Di kalangan ahli lama, menerima Umno adalah sesuatu yang mustahil kerana sejarah hitam yang panjang di antara kedua parti,” kata Azlan.
Azlan berkata, masih banyak isu teknikal perlu dijelaskan dalam piagam antara PAS dan Umno untuk membolehkan ahli menerima kerjasama tersebut.
“Contohnya, pembahagian negeri antara Umno dan PAS, kerusi-kerusi yang ingin ditandingi, dan fokus isu yang ingin diperjuangkan,” katanya.
Seorang lagi penganalisis berpendapat kerjasama dengan Umno itu tidak menguntungkan parti Islam tersebut dan membuatkan PAS semakin dilihat ekstrem.
Ini memandangkan, PAS hanya mampu ke hadapan apabila melibatkan isu-isu kaum dan Islam, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Mohammad Tawfik Yaakub
“PAS hilang roh politik Islam versi Malaysia yang lebih sederhana.
“Jika pendekatan politik kaum agama ekstrim masih diteruskan oleh PAS, ini seolah-olah mencontohi pemerintahan Taliban Afghanistan, dan beberapa buah negara di Timur Tengah.
“Malah PAS kembali mewarnai hala tuju parti dengan pegangan kaum dan pandangan agama yang ekstrim berbeza ketika parti dipimpin oleh (Allahyarham) Fadzil Noor,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpendapat PAS kini hanya menjadi pak turut sedangkan parti Islam itu sebelum ini banyak mengkritik pentadbiran kerajaan Umno.
Tambahnya, kini parti Islam itu seolah-olah melupakan apa yang pernah dikritik oleh mereka.
“Majoriti ahli Parlimen PAS bertindak sebagai tulang belakang dan penasihat agama Umno di Parlimen apabila bersama-sama dalam blok pembangkang.
“Oleh itu PAS hanya mampu mendabik dada mendapat sokongan tinggi orang Melayu-Islam sedangkan parti itu lemah dalam menjalankan pentadbiran,” kata Tawfik lagi.
Jelasnya, beliau melihat PAS tidak membawa pembaharuan di Kelantan dan tiada penunjuk prestasi yang jelas di Terengganu.
“Tiada pembaharuan dalam pentadbiran dan polisi kerajaan Kelantan, hanya meneruskan corak urus tadbir sebelumnya.
“Setahun Shamsuri (Mokhtar) menjadi menteri besar Terengganu, beliau terkepung dengan perjuangan isu mendapatkan royalti petroleum sahaja,” katanya.
Beliau juga melihat organisasi PAS juga semakin mengecil dan sokongan yang diterimanya semakin merudum disebabkan perubahan aliran perjuangan yang lebih ekstrim.
“Dalam tempoh setahun selepas PRU14, PAS perlu mendedahkan jumlah ahli terbaru parti yang telah dikemaskini dan bilangan ahli baru menyertai PAS.
“Inilah kaedahnya jika PAS ingin memperlihatkan partinya semakin kuat berbading pesaingnya iaitu Amanah, yang lebih kuat kawasan bandar, terutamanya di Lembah Klang,” katanya.
Dakwaan mengenai kelemahan pentadbiran di Terengganu ditangkis oleh pesuruhjaya PAS Pahang yang mempertahankan kejayaan melaksana hampir kesemua manifesto pilihan raya.
Rosli Abdul Jabar berkata prestasi seperti itulah yang membolehkan PAS mentadbir Kelantan selama lebih 20 tahun.
“Tapi di Terengganu walaupun baru setahun (memerintah) tiada isu besar hingga sebabkan berlaku ketidakpuasan hati rakyat Terengganu.
“Apatah lagi hampir 100% manifesto yang dijanjikan hampir ditunaikan PAS Tengganu, dari segi prestasi itu sangat baik,” katanya.
Muktamar PAS akan berlangsung di Kuantan hujung minggu ini dan dijangka akan menyaksikan perdebatan hangat berkaitan kerjasama dengan Umno.
“Yang pastinya PAS sudah pasti menetapkan syarat dan membuat sesuatu yang memberi kelebihan atas dasar keuntungan sesama Islam,” katanya.