Pencemaran lombong, ladang di Kelantan ragut nyawa
Kesan kumulatif aktiviti perlombongan dan perladangan di hutan Kelantan sepanjang sedekad yang lalu dipercayai menjadi punca kepada 14 kematian baru-baru ini di kalangan Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, kata seorang aktivis.
Aktiviti-aktiviti ini telah mencemarkan sumber-sumber air Orang Asli yang menjadi tempat mereka bergantung, kata Johan Halid, presiden organisasi bukan kerajaan Sahabat Jariah.
“Air tercemar satu perkara, perkara kedua tidak ada bekalan makanan yang baik,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi mengenai laporan berita mengenai 14 kematian tersebut.
Sahabat Jariah membangkitkan isu pencemaran sungai dan 12 kematian Orang Asli di Kuala Koh sepanjang tempoh Ramadan bulan lepas, pada halaman Facebooknya pada 4 Jun.
Hari ini, Sinar Harian turut melaporkan bahawa 14 Orang Asli disahkan meninggal dunia, termasuk kanak-kanak berusia satu tahun. Di samping mengatakan kematian terbaru direkodkan adalah semalam, iaitu kematian seorang wanita berusia 22 tahun.
Akhbar itu turut melaporkan dakwaan penduduk kampung bahawa sumber air sungai mereka adalah sisa perlombongan bijih besi yang memulakan operasi sejak empat tahun lalu.
Johan juga bersetuju bahawa kawasan sekitarnya tercemar dengan sisa-sisa aktiviti perlombongan dan perladangan, seperti racun perosak pertanian dan bahan kimia yang digunakan dalam aktiviti meletupkan kawasan bagi tujuan perlombongan telah meresap ke dalam saluran air.
Pendedahan berterusan Orang Asli terhadap sisa lombong dan ladang yang mencemari sumber air mereka menjadi punca penduduk kampung memiliki sistem imun yang lemah, katanya.
“Impaknya kini berpunca sejak 10 tahun lalu.
“Menurut Jabatan Alam Sekitar, punca (utama) adalah ladang kerana racun perosak dan baja yang digunakan mengalir masuk ke dalam sungai sewaktu hujan turun.”
Ditanya sama ada pencemaran itu telah disahkan oleh analisis kimia atau belum, Johan berkata sampel telah diambil oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Kimia selepas beberapa kematian terdahulu dilaporkan.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa pihak institusi pengajian tinggi turut datang dan menjalankan ujian ke atas sungai-sungai di sekitar kawasan itu dan mendapati kandungan kimia tinggi.
Beliau berkata satu lagi universiti awam akan mengambil lebih banyak sampel air untuk ujian pada hari esok.
Sungai-sungai yang terjejas ialah Sungai Pertang dan Sungai Lebir, di mana keluarga-keluarga dari suku Bateq tinggal di tepi sungai, jelas Sahabat Jariah.
Menurut halaman Facebooknya, NGO itu menjalankan aktiviti amal di kampung Orang Asli.
Orang Bateq di kawasan itu masih mengamalkan aktiviti memburu dan mengumpulkan hasil hutan untuk bekalan makanan mereka.
Aktivit tersebut kadang-kadang memerlukan perjalanan sejauh tiga kilometer dengan berjalan kaki dalam tempoh dua hari pendakian.
“Biasanya lelaki pergi ke hutan untuk mencari makanan dan kadang-kadang mengambil masa dua hingga tiga hari untuk kembali.
“Sepanjang masa itu, wanita dan kanak-kanak tidak mempunyai makanan yang cukup sehingga mereka kembali,” kata Johan di samping turut menambah bahawa ramai penduduk Orang Asli kurang gizi untuk pertumbuhan tubuh mereka.
Beliau berkata Sahabat Jariah akan melawat kawasan tersebut dalam beberapa hari akan datang bagi mengagihkan bekalan makanan.
Beliau menambah bahawa jabatan kebajikan sosial juga telah dimaklumkan tentang keperluan makanan bagi penduduk di kawasan itu.
Walaupun Sabahat Jariah dan Sinar Harian melaporkan 14 kematian berlaku sejak bulan Ramadan, pihak polis di Gua Musang sebaliknya memberitahu Bernama hari ini bahawa mereka hanya mendapat laporan mengenai kematian dua orang dewasa pada 29 Mei.
Menurut Sinar Harian, kematian pertama dilaporkan pada 2 Mei. Beberapa mayat dikatakan dikebumikan di hutan mengikut adat suku tersebut.
Sementara itu, Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa) kini sedang berusaha memindahkan penduduk kampung yang terjejas ke hospital-hospital berdekatan di Gua Musang dan Kuala Krai.
Sekitar 200 Orang Asli, yang terdiri daripada 50 buah keluarga, menetap di kampung-kampung di kawasan itu.
Kira-kira 50 orang setakat ini telah mendapat rawatan sementara 20 orang ditempatkan di hospital dan 30 lagi di klinik kesihatan.
Johan berkata memindahkan penduduk kampung di luar kawasan itu telah menjadi tugas sukar memandangkan lokasi mereka di kawasan terpencil.
“Masih banyak lagi orang yang tidak dapat diakses. Mereka perlu diminta keluar.
“Ada di antara mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan manakala anak-anak tidak mempunyai sijil kelahiran,” katanya.
Lebih banyak kakitangan perubatan dari Hospital Orang Asli di Gombak dijangka melawat kawasan itu minggu depan.
Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Alam Tengku Zulpuri Shah Raja Puji juga mengakui kemungkinan kematian itu terjadi hasil jangka panjang pencemaran perlombongan dan perladangan.
Zulpuri memberitahu Free Malaysia Today bahawa beliau tidak menolak kemungkinan kematian itu berpunca daripada pencemaran kimia di sungai berdekatan Kampung Koh berdasarkan pemerhatian beliau sewaktu lawatan kerja ke kawasan itu pada 22 Disember tahun lalu.
““Jangan kata saya tuduh ya, kemungkinan besar bahan kimia dari perlombongan itu masuk dalam sungai dan menjadikannya tak bersih,” katanya dipetik sebagai berkata.