Tapak asal Masjid Sungai Nibong Besar dan tanah perkuburan Islam di situ tidak akan sama sekali terjejas dengan cadangan jajaran transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah bermesyuarat dan bersetuju cadangan jajaran LRT tersebut diletakkan bersebelah dan selari dengan jejambat Jalan Sultan Azlan Shah tanpa menjejaskan kawasan tanah wakaf.
“Persetujuan ini mengambil kita jejambat LRT yang dicadangkan tidak memasuki walau sedikit pun tanah wakaf kubur dan juga wakaf Masjid (Jamek) Sungai Nibong Besar, baik yang berada di atas tanah, mahupun ruang udara kedua-duanya,” katanya dalam sidang media di Komtar, Pulau Pinang, hari ini.
Katanya lagi, keputusan itu juga selari dengan fatwa dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
“(Fatwa) itu antaranya, tidak memasuki tapak dan juga ruang udara kubur dan juga tapak masjid oleh sebarang struktur,” katanya sambil menambah projek pembinaan masjid di tapak berkenaan boleh diteruskan mengikut jadual asal.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan menghormati setiap garis panduan dan hukum hakam Islam yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek berkenaan.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang kesal dengan apa yang berlaku sekarang merujuk semua jenis penyebaran maklumat, kenyataan media dan sebarang bentuk sebaran melalui apa juga saluran media oleh sesiapa pun yang berniat jahat, bersifat fitnah dan tohmahan tidak berasas tanpa merujuk dan mendapatkan maklumat terkini yang sahih dan tepat dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga.