Kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa terdapat kalangan rakyat, termasuk penjawat awam yang mahu kerajaan PH tidak diteruskan mentadbir negara ini selepas PRU akan datang kerana kelantangannya mengekang rasuah, adalah sesuatu yang salah dan tidak benar sama sekali.
Kata Perdana Menteri lagi, oleh kerana kerajaan yang mengekang rasuah ini tidak menguntungkan mereka, maka ia dianggap tidak sebaik kerajaan yang lepas.
“Ada yang anggap kerajaan hari ini tidak harus diteruskan tetapi kembali kepada kerajaan rasuah yang akan menguntungkan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Ipoh.
Tanggapan Tun Mahathir ini benar-benar salah dan tidak benar kerana siapa jua rakyat yang waras, termasuk penjawat awam, mereka pasti mahukan kerajaan yang baik untuk mentadbir negara dan menolak kerajaan yang rasuah.
Inilah juga sebabnya mengapa BN ditumbangkan dalam PRU14 lalu kerana mereka percaya kerajaan yang ada ketika itu terdedah dengan begitu banyak elemen rasuah sehingga membuatkan mereka meluat dengannya.
Setelah rakyat, termasuk penjawat awam mengundi menolak BN, di mana logiknya mereka tidak suka kepada kerajaan PH yang berusaha gigih mengekang rasuah?
Sementara kita selalu mendengar banyak kerajaan yang rasuah telah tumbang di dunia ini, pernahkah kita mendengar sesebuah kerajaan itu dijatuhkan hanya disebabkan ketegasannya memerangi rasuah?
Yang lebih menyedihkan tanggapan Tun Mahathir ini memperlihatkan seolah-olah dalam pemikirannya bahawa majoriti rakyat dan penjawat awam adalah golongan yang suka kepada rasuah belaka.
Sudah tentu perkara ini adalah tidak benar kerana jika betul majoriti rakyat dan penjawat awam suka kepada rasuah, pastinya BN tidak kalah dalam PRU14 yang lepas.
Apa yang betul sebenarnya mengapa rakyat mula menolak PH dan sudah terdengar cakap-cakap bahawa PH hanya sepenggal saja memerintah negara ialah kerana kegagalannya menunaikan janji manifesto serta beberapa faktor yang lain lagi.
Saya sendiri awal sebelum ini sudah menulis tentang PH kerajaan sepenggal ini – http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/01/pakatan-harapan-kerajaan-sepenggal.html?m=1
Jika janji-janji manifesto ditunaikan yang secara tidak langsung akan memberi penurunan kepada kos sara hidup dan menjadikan rakyat memiliki lebih banyak wang dalam poket mereka, tidak ada sebab untuk rakyat ada perasaan tidak puas hati kepada PH yang menjadi pilihan mereka dalam PRU14 yang lepas.
Yang lebih membuatkan rakyat sakit hati ialah bilamana Tun Mahathir sendiri, setelah dapat kuasa dan menjadi Perdana Menteri, tergamak mengatakan Buku Harapan bukanlah sebuah kitab suci.
Mengapa hanya setelah menang baru mengatakan Buku Harapan yang mengandungi janji-janji kepada rakyat bukan sebuah kitab suci?
Kenapa tidak mengatakan demikian sebelum rakyat membuang undi lagi?
Lebih daripada itu, Tun Mahathir sendiri sejak kebelakangan ini tidak banyak lagi menyentuh tentang janji-janji manifesto, walhal ia adalah sesuatu yang amat penting serta dinanti-nantikan oleh rakyat.
Apakah beliau sudah lupa?
Hanya Anwar dan beberapa pemimpin lain yang terus bercakap agar PH sentiasa ingat untuk menunaikan janji-janji manifesto kepada rakyat.
Terbaru, kata Anwar, PH perlu berusaha menunaikan janji-janji manifestonya demi memastikan sokongan kepada gabungan itu berterusan sampai bila-bila.
Makanya, jangan salahkan perkara lain yang menyebabkan sokongan rakyat kian menurun,
Ia bukan sama sekali disebabkan rakyat mahu kerajaan rasuah kembali memerintah negara ini, tetapi kerana kegagalan PH sendiri dalam menunaikan janji manifestonya.
Dalam hal ini, Anwar adalah betul apabila meminta kerajaan berusaha sedaya mungkin serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan dalam menunaikan janji-janji manifesto itu.