Jawapan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sama ada peneroka Felda patut diberi duit raya atau sebaliknya pada tahun ini, tidak lebih hanya menambahkan lagi sakit hati peneroka terhadap kerajaan.
Katanya, beliau tidak tahu sama ada wang insentif raya kepada peneroka Felda pada tahun ini akan diberikan seperti tahun-tahun sebelumnya atau pun tidak.
“Saya tidak tahu. Pegawai kerajaan kita bagi. Mereka ini (peneroka) kita tak tahu pegawai kerajaan atau tidak.
“Itu kena tanya Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekononi yang bertanggungjawab terhadap Felda),” tambah Tun Mahathir.
Aduhhh Tun, kenapa beri “jawapan tak cerdik” seperti ini?
Takkanlah seorang Perdana Menteri yang merupakan antara pemimpin terhebat di dunia tidak tahu kedudukan peneroka sama ada mereka itu pegawai kerajaan atau tidak?
Kenapa status pegawai kerajaan dijadikan sebagai perbandingan untuk memberi duit raya peneroka Felda?
Memberi duit raya kepada peneroka bukanlah sama ada mereka itu pegawai kerajaan atau tidak, tetapi sebagai tanda prihatin kerajaan dalam membantu kehidupan mereka.
Kalau pun Tun Mahathir mahu memberi jawapan sinis dan menyindir, beliau haruslah soal duit dan dalam situasi sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk menyindir peneroka Felda.
Selain itu, fikirkanlah juga jasa dan sumbangan peneroka Felda kepada terbentuknya kerajaan yang ada ini.
Kalau nak beri, cakaplah nak beri dan kalau tak nak bagi, cakap saja tak nak bagi. Habis cerita.
Apa perlu dikata “saya tak tahu mereka pegawai kerajaan atau tidak?”
Bukankah menyakitkan lagi hati peneroka saja jadinya dengan jawapan seperti itu?
Dalam hal ini, Anwar Ibrahim nampaknya lebih ada perasaan simpati dan kemanusiaan terhadap peneroka Felda apabila menyarankan agar duit raya tetap diberikan kepada mereka, walaupun dengan jumlah yang sedikit.
Kata beliau, kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian duit raya itu bagi meringankan beban golongan itu, selain berpendapat, mereka sangat memerlukannya dalam keadaan ekonomi dan hasil ladang seperti sekarang ini.
Tidakkah tugas pemimpin memberi sedikit kesenangan kepada rakyat yang memerlukan?
Buat kereta ketiga boleh, nak bawa balik perlumbaan F1 boleh, malah nak buat kereta terbang pun boleh, kenapa tak boleh beri sedikit duit raya kepada peneroka Felda? (Shahbudindotcom 28/05/2019)