Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini menafikan dakwaan beberapa portal politik bahawa DAP kononnya mahu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik disingkirkan.
Menyifatkan ia sebagai fitnah dan pembohongan, beliau turut menafikan bahawa DAP mahu Maszlee digantikan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
“Tidak ada kebenaran dalam mana-mana posting, yang mana adalah fitnah dan pembohongan.
“DAP tidak pernah minta Perdana Menteri untuk menggantikan Mazslee dengan Teo Nie Ching sebagai Menteri Pendidikan dan DAP tidak ada kena-mengena dengan mana-mana petisyen yang meminta Maszlee meletakkan jawatan – dan pembohongan ini hanyalah permulaan penipuan yang akan muncul dalam media sosial pada minggu-minggu akan datang untuk menyebabkan ketegangan, perbezaan dan perpecahan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa agar pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjaga disiplin bagi berdepan sebarang usaha untuk memecah-belahkan gabungan parti-parti kerajaan itu.