Pas jangan celupar label Anwar banduan – Faiz Fadzil
Pas diingatkan supaya tidak celupar dengan kenyataan biadap bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi perdana menteri disebabkan berstatus banduan.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan Pas itu jelas tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong yang memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar pada 16 Mei 2018.
“Kuasa menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ini telah dilaksanakan secara betul mengikut prosedur undang-undang dan prinsip keadilan.
“Pengampunan Anwar Ibrahim ini seharusnya dihormati oleh Pas kerana apabila Anwar diberikan pengampunan Diraja, beliau juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihan raya yang bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.
“Ini bermakna sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan dan Anwar bukan seorang banduan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Adun Permatang Pasir itu berkata, Pas tidak seharusnya membangkitkan isu ini kerana umum mengetahui bahawa Anwar dituduh dan dihukum atas campurtangan politik.
Menurutnya, Pas ketika bersama dalam Pakatan Rakyat telah pun mengetahui dengan jelas status isu liwat berkenaan dan memutuskan berlakunya konspirasi politik ke atas Anwar.
“Kes liwat II terhadap Anwar yang dituduh dan dihukum lima tahun penjara ini berlaku ketika pemerintahan kleptokrat Datuk Seri Najib Razak yang telah dijatuhkan rakyat.
“Jangan hanya kerana mahu membela individu yang kini berhadapan puluhan kes penyelewengan dan korupsi, Pas sanggup berterusan menggadaikan prinsipnya membela kezaliman dengan membangkitkan isu Anwar sebagai banduan.
“Sedangkan beliau telah diiktiraf undang-undang layak dipilih sebagai perdana menteri,” katanya yang juga anak bekas Presiden Pas almarhum Fadzil Noor yang begitu kuat membela Anwar ketika konspirasi politik pada 1998 lalu.