Rakyat mahu PH kurangkan pekerja warga asing
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah setahun memerintah digesa agar mempercepatkan rancangan pengurangan tenaga kerja asing di Malaysia.
Tinjauan Suara Pakatan Daily mendapati pekerja asing telah menceburi sektor perniagaan di negara ini secara berleluasa. Mereka masuk sebagai pekerja dan keluar sebagai usahawan berjaya.
Misalnya, pekerja warga Bangladesh yang terlalu ramai dan tidak mempunyai pekerjaan tetap membuka perniagaan sendiri. Setelah beberapa waktu mereka berjaya berniaga dalam sektor restoran, bengkel kereta, kedai telefon pintar, kedai gunting rambut dan sebagainya.
Salah seorang warga tempatan yang ditinjau, Kak Maimunah, 58 tahun tidak setuju dengan kehadiran terlalu banyak pendatang asing tersebut. Katanya pekerja warga asing merosakkan rezeki rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan kerja atau pun berniaga kecil-kecilan.
“Saya harap kerajaan Malaysia akan mengurangkan pengambilan pekerja asing. Saya tengok banyak kilang-kilang masih menggaji mereka.
“Kerja di kilang proses makanan, membuat kotak atau sektor perhotelan bukanlah kerja yang kotor atau merbahaya. Jika kerajaan Malaysia menghentikan pengambilan pekerja asing, pastinya majikan akan terpaksa menggaji rakyat Malaysia.
“Sudah tiba masanya PH merangka satu polisi yang tegas berkaitan pekerja asing sebab sekarang tiada dasar yang kukuh dalam perkara ini,” katanya.
Kak Maimunah yang berniaga secara kecil-kecilan turut menyuarakan pendapatnya mengenai kos hidup. Menurutnya, harga barang yang tidak turun sejak setahun PH memegang kuasa benar-benar menjejaskan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana harga bahan mentah atau pakaian telah naik sejak beberapa tahun lalu.
“Mengapa langkah penurunan harga belum lagi dilaksanakan?
“Harga minyak RON95 dan minyak masak masih tinggi. Sebenarnya harga banyak barang telah meningkat lebih tinggi jika dibandingkan dengan zaman GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).
“Justeru, saya harap keadaan begini boleh diperbaiki. Ramai warga miskin dalam kumpulan B40 juga sedang menunggu perlaksanaan subsidi minyak untuk orang yang memiliki hanya sebuah kereta 1,500 c.c. dan ke bawah,” tambah beliau.