Lynas mungkin pindah ke AS?
Pengeluar nadir bumi Lynas Corp berkata Isnin, ia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp yang berpangkalan di Texas untuk membina pembina kilang pemprosesan bahan itu di Amerika Syarikat (AS).
Langkah Lynas memasuki AS berpunca daripada masalah kawal selia yang dihadapi di kilang pemprosesannya di Malaysia.
Malaysia memberitahu Lynas supaya mengeluarkan sisa buangan yang terkumpul sejak beberapa tahun lepas bagi membolehkan lesen operasinya diperbaharui.
Lynas dan Blue Line akan bekerjasama dalam beberapa tahun akan datang bagi membangunkan kilang pemprosesan di Texas.
Saham majoriti usahasama itu akan dipegang oleh Lynas, menurut kenyataan bersama 2 syarikat terbabit.
Usahasama itu akan membolehkan Lynas merapatkan jurang rantaian perbekalan yang “kritikal” dengan pengeluar AS, kata syarikat itu.
Lynas sebelum ini membayangkan ia bercadang menimbangkan pembinaan kilang pemprosesan baru berdasarkan keadaan di Malaysia.
Lynas merupakan satu-satunya pengeluar utama galian nadir bumi di luar negara China. Bahan yang dikeluarkan oleh syarikat itu seperti neodymium-praseodymium digunakan dalam pelbagai aplikasi, termasuk komponen elektrikal dan magnet berkuasa tinggi.
Ia tidak mendedahkan perincian kos pembinaan kilang di AS.
Lynas kini merupakan sasaran tawaran ambil alih bernilai AS$1.1 bilion daripada konglomerat runcit-kimia, Wesfarmers Ltd, yang ditolaknya kerana menjatuh nilai perniagaannya.
Bulan lepas, Lynas melaporkan peningkatan hampir 33% pengeluaran suku ke-4 oksida nadir buminya. –