Semua kaum merana jika pemimpin rasuah
Tidak ada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan mereka pemimpin yang baik, bersih dan tidak mengamalkan rasuah, kata Ketua Umum PH Anwar Ibrahim.
Beliau yang mempertahankan pilihan PH meletakkan calon berbangsa India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram berkata, tidak timbul soal risiko kepada survival Melayu dalam PRK berkenaan sekiranya sokongan diberikan kepada PH.
“Kaum Malayu akan survive (boleh bertahan hidup) kalau kita ada pemimpin yang baik, bersih, serta tidak korup, dan bukan setakat kaum Melayu sahaja, kaum lain juga.. Cina, India, Kadazan pun akan survive.
“Tetapi kalau lantik (pemimpin) dari kaum Melayu korup, zalim.. kaum India, Cina, Melayu pun takkan survive,” katanya di ceramah sempena kempen PRK berkenaan di Taman Angsamas, Rantau malam ini.
Turut hadir pada ceramah berkenaan ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga menteri pertahanan.
Mohamad dalam ucapannya turut mengkritik propaganda sesetengah pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab yang dilihat sengaja memainkan isu survival Melayu, malah menurutnya sehingga ada yang menuduh parti komponen PH sebagai ‘barua DAP’.
Katanya tidak mungkin Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang dahulunya juga dikenali sebagai pro Melayu dan pernah menulis buku The Malay Dilemma akan berbuat demikian.
“Macam itu juga Anwar Ibrahim, yang keluar masuk penjara, duduk di penjara lagi lama (daripada) berada di luar (penjara), takkan dia nak mempersia-siakan perjuangannya,” katanya.
PRK Rantau pada 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara calon PH Dr S. Streram, calon BN yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah Mohd Nor Yassin dan suri rumah R Malarvizhi.
PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad Hasan yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.