Najib sudah di kandang tertuduh, Tok Mat masih tak tahu?


“Kalau betul 1MDB bermasalah, dakwalah Najib (Razak). Kamu kata dulu kertas pertuduhan dah siap, cuma belum tangkap. Sekarang kenapa tak tangkap?” kata Mohamad Hassan dalam ceramah di Rantau pada malam 3 April lalu.
Beberapa jam sebelum Mohamad Hassan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengeluarkan kata-kata itu, Najib sedang berada di kandang tertuduh menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB, berjumlah RM42 juta.
Tak mungkinlah Tok Mat yang dianggap sebagai bijaksana oleh ahli-ahli UMNO tidak tahu yang Najib telah dibicarakan pada hari sama dia meminta bekas bosnya itu ditangkap dan didakwa?
Meminjam jenaka pembangkang: Tak ada whatsapp group ke?
Sikap tidak ambil peduli Tok Mat mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, yang meminta Pemangku Presiden UMNO itu agar lebih banyak membaca surat khabar atau menonton televisyen supaya tidak terlepas mengikuti isu-isu semasa.
“Saya minta Tok Mat supaya pergi buka surat khabar dan baca, tengok TV dan kamu boleh pergi ke mahkamah menyaksikan kes perbicaraan di mana kita beri peluang kepada saksi-saksi memberi keterangan di sana.
“Dia tak tahu kah, kita sudah charged (dakwa) bawa Najib ke mahkamah,” kata Gobind dalam satu ceramah di Rantau, semalam.
Tetapi apa yang lebih menarik adalah kata-kata Tok Mat sendiri: “kalau betul 1MDB bermasalah, dakwalah Najib”.
Kini Najib sudah didakwa, beranikah Tok Mat untuk kata syarikat yang diasaskan mantan Perdana Menteri itu semenangnya bermasalah dan pihak yang bertanggungjawab harus dihukum – bukannya diheret untuk turun berkempen?