MELAYU TERANCAM? RAFIZI AKAN JAWAB DI RANTAU MALAM ESOK


Politik negara sejak peralihan kuasa tahun lalu banyak berkisar kepada kebimbangan masyarakat Melayu yang merasakan kerajaan Pakatan Harapan memusuhi dan meminggirkan orang Melayu.
Ini tidak ubah seperti sentimen meluas selepas tahun 2008 bila mana Pakatan Rakyat ketika itu menafikan majoriti dua pertiga yang dipegang Barisan Nasional dan 5 buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Saya masih ingat sentimen itu kerana saya masih di sektor swasta. Ada tunjuk perasaan, ada kepala lembu yang diheret. Kebimbangan itu juga menyebabkan bibit-bibit perpecahan di dalam PAS, bila ada kumpulan yang mahu bersama UMNO atas nama perpaduan Melayu tetapi ditentang oleh Allahyarham Dato’ Seri Nik Abdul Aziz.
Keadaan itu berulang, apatah lagi apabila kedua-dua parti PAS dan UMNO menggunakan kebimbangan itu sebagai senjata untuk meraih undi.
Benarkah Melayu kini terancam?
Apa yang berbeza kini berbanding di zaman pemerintahan UMNO, sehingga orang-orang PAS sanggup memeluk musuh politik yang mereka lawan selama enam dekad?
Benarkah DAP ada agenda khusus untuk meminggirkan orang Melayu dan menjadi musuh terbesar orang Melayu, sedangkan PAS sebelum itu (PRU 2013) sanggup memberikan logo mereka untuk digunakan oleh DAP kerana sayangnya PAS kepada DAP?
Banyak soalan-soalan sebegini yang perlu dijawab dan boleh dijelaskan.
Isu kebimbangan Melayu terancam ini bukan satu isu yang boleh dipinggirkan. Ia perlu dikupas dan dijawab.
Orang Melayu pula perlu berfikir secara terbuka.
Saya tidak akan berceramah, sebaliknya saya akan jawab.
Anda tanya, saya jawab. Selama tiga jam, saya akan kupas sepenuhnya isu kebimbangan Melayu.
Saya jemput seberapa ramai penduduk sekitar Rantau dan Seremban untuk hadir program bersahaja ini. Jangan lupa tonton di Facebook.
Temui saya di Makan Time Asam Pedas, Bandar Sri Sendayan hari Khamis ini jam 930 malam.
Mohon sebarkan.
Rafizi Ramli
Naib Presiden PKR.