Basmi rasuah kejayaan terbesar PH
Usaha Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membasmi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penipuan terhadap rakyat merupakan kejayaan terbesar PH dalam meneruskan agenda reformasi, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Menurut MP Port Dickson itu, dirinya juga tidak berbeza dengan Mahathir serta akan terus mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Orang tanya saya apa kejayaan terbesar yang PH boleh bangga dibawah Tun Mahathir sekarang.
“Dan saya jawab (beliau) masih meneruskan agenda reformasi,” katanya di sambutan majlis ulang tahun 20 penubuhan parti PKR di Pekan Rantau, malam tadi.
Berucap di hadapan lebih 2,000 anggota parti dan penduduk DUN Rantau, Anwar menjelaskan agenda reformasi yang dimaksudkannya berupa ketegasan menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penipuan terhadap rakyat.
“Yang ini tidak bertolak ansur. Orang cuba katakan ini perbezaan pendekatan saya dengan Tun Mahathir. Tidak ada perbezaan sama sekali. Ini negara hukum ‘rule of law’,” tegasnya.
Majlis ceramah Anwar ini turut disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Sasterawan Negara A Samad Said serta beberapa pemimpin kanan PH.
Antaranya ialah veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim dan calon PH Dr S Streram.
Anwar turut berkata dalam perjuangan membina negara pemimpinya perlu mengilap semula identitinya.
“Golongan ini ibarat besi yang kuat. Tapi, sekuat-kuat besi pun bila dicampak dalam ‘air’ gelombang politik, lama-kelamaan berkarat juga. Sebab itu, besi yang dicampak di air ini dari masa ke semasa masih dikeluarkan disapu dengan minyak.
“Kemudian baru dimasuk balik dalam gelanggang perjuangan. Bila hilang minyaknya, mula bersabit karat, keluarkan semula digilap lagi, tiada pemimpin yang terkecuali termasuk saya,” katanya berkias.