Perjuangan PH ekonomi, kenapa terperangkap dalam perkauman?
ULASAN: Selepas 61 tahun, berlaku perubahan kerajaan persekutuan secara demokratik di Malaysia. Apa pun hasil dari perubahan itu, kejayaan rakyat Malaysia mengusahakan satu perubahan tanpa kekecohan akan tersemat dalam sejarah.
Rakyat mengambil masa yang agak lama untuk kembali tenang hasil dari rasa teruja di awal pertukaran kerajaan. Dalam bulan-bulan pertama, setiap kali saya menyuarakan sesuatu yang dilihat tidak mengangkat PH, saya diserang hebat.
Saya terima ia satu perkara yang dijangka kerana kerajaan tidak pernah berubah, tetapi lambat laun rakyat akan kembali tenang dan objektif.
Walau bagaimana pun, rasa teruja itu ada membawa kesannya kepada pentadbiran PH. Fokus pentadbiran PH tergelincir sedikit kerana masa bulan madu terlalu lama. Perubahan sikap rakyat terhadap PH, apabila mereka kembali tenang dan objektif, boleh membawa padah politik jika tidak diurus segera. Ada tanda-tanda bulan madu itu sudah hilang madunya, mungkin berganti pahit.
Saya terus mengikuti sentimen rakyat di bawah melalui kaji selidik bulanan dan profailing pengundi yang banyak membantu kempen PH di dalam PRU14.
Komen netizen di portal berita utama secara terang-terang menunjukkan terasingnya rakyat Malaysia sesama sendiri. Setiap kumpulan kaum hidup di bawah tempurung sendiri. Kita tidak sedar perubahan ketara di dalam kumpulan kaum lain, kerana kita hanya bergaul sesama kaum sendiri.
Saya bukanlah gemar membawa berita buruk, tetapi kalau ia benar ia tetap perlu disampaikan.
Populariti kerajaan persekutuan sejak PH mengambil alih jatuh merudum, berbanding di awal pentadbiran.
Dalam bulan Jun 2018, 72% responden yang ditanya menyatakan mereka gembira dengan prestasi Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Responden Cina memberikan markah tertinggi iaitu 87 peratus, diikuti dengan responden India (84%). Malah, 66% responden Melayu turut berpuas hati dengan prestasi beliau (dikira tinggi memandangkan PH tidak memenangi undi Melayu dalam PRU14).