MCA, MIC pertimbang cari pakatan lain
MCA dan MIC mempertimbang pilihan politik lain susulan kenyataan berbaur perkauman oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Nazri Aziz semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.
“Apaila tiada sikap saling menghormati dan terdapat percanggahan perpaduan dalam kalangan parti komponen BN, asas BN telah dicabar dan tergugat,” kata Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S.A. Vigneswaran dalam satu kenyataan bersama hari ini.
“Nazri mengulangi kenyataan berbaur perkauman yang dilihat datang dari Umno dan sikap berdiam diri terus menghancurkan asas saling menghormati yang dipegang BN selama ini.”
“Oleh itu MCA dan MIC tidak mempunyai pilihan selain mempertimbangkan pakatan baharu bagi mencerminkan hasrat perpaduan dalam kepelbagaian seperti hasrat asal kedua-dua parti ini,” kata mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan parti Islam itu dan parti komponen BN, Umno akan mengadakan pertemuan pada Khamis untuk membincangkan kerjasama secara formal.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kedua-dua parti akan menggunakan satu logo pada pilihan raya akan datang.
Semasa kempen PRK Semenyih di Beranang bulan lalu, Nazri menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan hak orang Melayu kepada kaum lain.
Beliau turut mengkritik pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Richard Malanjum dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan berkata mereka bukan Bumiputera atau Melayu.
Sementara itu, Wee dan Vigneswaran berkata kenyataan berbaur perkauman Nazri ‘tidak dipersoalkan’ dan merosakkan lagi hubungan antara tiga parti komponen BN – Umno, MCA dan MIC.
“MCA dan MIC sebagai wakil kaum masing-masing mengakui bahawa BN telah ditolak oleh komuniti sendiri dan disebabkan itu, kita menyeru pembubaran dan, atau penstrukturan semula untuk kembali kepada semangat dan tujuan asalnya.”
Kedua-dua presiden itu berkata BN merupakan pakatan yang dibentuk untuk mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian kaum dalam membina negara.
“Gabungan BN dibentuk oleh pengasas kita yang mengetuai gabungan itu untuk mempromosikan perpaduan, kestabilan dan keharmonian politik di negara yang berbilang bangsa.” –