Kematian Adib mungkin akibat kemalangan – Pakar forensik
Pakar forensik memberitahu mahkamah koroner hari ini bahawa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan dilanggar pintu kenderaan di bahagian belakangnya menyebabkan kecederaan yang menjadi punca kematiannya.
Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), merupakan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Adib memberitahu mahkamah bahawa pada pandangannya, “kemungkinan besar” Adib mendapat kecederaan itu kerana beliau dilanggar kenderaan Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika ia mengundur semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang.
“Sekiranya memang si mati berada di luar kenderaan, beliau berdiri dan belakangnya menghadap EMRS, bahagian belakang rusuk kirinya dilanggar bucu bingkai pintu hadapan sebelah kiri penumpang ketika ia mengundur,” katanya.
Beliau berkata, kecederaan Adib pada bahagian kiri rusuknya adalah disebabkan impak daripada sesuatu yang lurus, nipis dan keras yang menghentamnya dengan kuat.
“Ia konsisten dengan bucu pintu yang melanggar belakangnya. Bucu pintu itu lurus, keras dan nipis,” katanya dan menambah tujuh tulang rusuk Adib patah.
“Patah pada tulang rusuknya sepadan dengan profil pintu berkenaan kerana ia mengalami kepatahan yang nipis dan lurus,” katanya kepada koroner Rofiah Mohamad.
Menurutnya, beliau telah diminta oleh pihak polis untuk menghadiri lakonan semula rusuhan bagi mengenal pasti bagaimana anggota bomba itu mengalami kecederaan selepas diberi taklimat tentang apa yang berlaku malam itu.
Katanya akibat daripada terkena belakangnya, impak itu menyebabkan Adib jatuh ke hadapan dan jatuh di permukaan keras dan luas yang juga menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk kanannya.
“Kesan dari bingkai pintu juga menyebabkan si mati tercampak ke hadapan dan jatuh, yang menyebabkan terhentak pada permukaan yang keras dan lebar menyebabkan pecah tulang rusuknya patah.
“Beliau mungkin terhentak permukaan keras yang timbul berkemungkinan besar bahu jalan,” katanya.
Katanya, kesan calar pada lutut kanan dan bawah siku kiri juga konsisten dengan beliau terjatuh ke depan disebabkan impak itu.
Beliau juga memberitahu mahkamah, tulang rusuk kedua, ketiga, keempat dan kelima kanan badannya juga patah, yang mana tulang rusuk ketiga patah di tiga bahagian dan tulang keempat patah dua bahagian.
Tambahnya, tulang rusuk keempat dan kelimanya tertusuk paru-paru kanan, menyebabkannya mengalami kegagalan fungsi paru-paru yang membawa kepada kematiannya.
Ahmad, yang merupakan saksi ke 24 inkues kematian Adib, menjawab soalan dari Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.
Beliau berkata bahawa tidak dapat disimpulkan lagi sama ada Adib ditarik keluar dari kenderaan itu atau dia keluar sendiri.
Tambahnya, insiden itu berlaku kira-kira 10 saat.
Adib meninggal dunia akibat kecederaan itu pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.
Saksi perubatan berkata, beliau meninggal kerana beberapa organnya gagal berfungsi.
Hari ini merupakan hari ke 16 inkues. Ia akan bersambung dengan keterangan Ahmad Selasa depan.