‘Kalau rakyat gembira kos hidup turun, isu perkauman mati’
Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Semenyih lebih bersifat ‘tidak balas segera’ berikutan kaum Melayu yang enggan bersabar dan mahu kos sara hidup diturunkan dalam tempoh beberapa bulan selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan apa cara sekali pun.
Bagi penganalisis ekonomi, Jameson Tan, kekalahan PH mungkin akan menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia memandangkan pelabur menjangkakan BN akan kembali berkuasa dan memperkenalkan semula polisi kronisme dan korupsi dengan dibantu Pas yang berideologi ekstrem.
“Kekalahan PH bukanlah sesuatu yang baik untuk Malaysia kerana ia akan memberi gambaran kepada pelabur asing bahawa Kerajaan PH lemah. Tiada pelabur asing gemar berurusan dengan kerajaan yang lemah.
“Saya harap PH akan memperbaiki keadaan sebelum PRK Rantau tetapi kalau PH kalah lagi, saya pikir Malaysia tidak akan dapat menarik ramai pelabur asing dan ini tidak baik untuk ekonomi Malaysia pada keseluruhannya,” tegas beliau.
Sementara itu, seorang peniaga kecil yang ditemui Suara Pakatan Daily, Puan Maimunah, menyimpulkan kemenangan BN adalah indikator tahap kebosanan rakyat melihat kenaikan harga barang dan kos hidup yang tidak berjaya diturunkan.
“Pandangan saya walaupun isu perkauman memainkan peranan namun kegagalan menangani masalah kos sara hidup tinggi adalah faktor utama. Kalau rakyat gembira dengan kos sara hidup, isu perkauman akan diketepikan.
“Saya menyeru Kerajaan PH supaya menurunkan lagi harga minyak RON95 kepada RM1.90 atau maksimum RM2.00 seliter. Subsidi minyak masak patut dikembalikan.
“Begitu juga dengan harga telur mesti diturunkan kepada harga yang berpatutan. Kerajaan PH harus berhenti memberi alasan, sudah sepuluh bulan mentadbir. Saya tengok perubahan terlalu perlahan. Di Selayang (Selangor) juga, perkhidmatan bas amat teruk,” kata Kak Maimunah.
Beliau merasakan pentadbiran Tun Mahathir tidak lagi mempunyai idea bernas dan mengharapkan Anwar Ibrahim sebagai penggantinya akan memperkenalkan polisi yang lebih baik.
“BN mampu kembali berkuasa. Sekarang ini PH bergantung kepada Anwar Ibrahim yang akan menjadi Perdana Menteri pada tahun depan untuk memperbaiki-pulih keadaan.
“Menteri-menteri PH pada saya ramai yang tidak ada cadangan bernas bagaimana hendak membantu rakyat. Rakyat mahu tengok harga semua barang turun mendadak, sudah bosan dengan bermacam-macam alasan,” katanya lagi.
Dalam PRK Sabtu lalu calon PH, Muhammad Aiman Zainali kalah kepada calon BN, Zakaria Hanafi .Calon BN memperolehi 19,780 undi manakala PH meraih 17,866 undi.