DAP memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghantar dua wakilnya bagi menemani anggota keluarga Rahimi Ahmad, mangsa yang cedera dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand.
Exco Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir akan mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65 dan anak lelakinya, Roshidi, 42, hari ini.
“YB Phee Bon Poh dan YB Azrul bukan sahaja akan mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang yang tercedera dalam serangan yang dahsyat tersebut, tetapi juga untuk dua rakyat Malaysia lain yang turut tercedera.
“Mereka berdua telah menghubungi Wisma Putra untuk mengatur keperluan logistik untuk memastikan Kerajaan Malaysia bertindak sebagai satu negara dalam menghulurkan bantuan, simpati dan solidariti terhadap tiga mangsa yang tercedera tersebut,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan, hari ini.
DAP juga, katanya, mengulangi kecaman terhadap aksi keganasan “melampaui akal rasional” tersebut yang telah meragut 49 nyawa dan mencederakan 48 lain.
“Pembunuhan rambang yang dilakukan oleh seorang pengganas berkulit putih terhadap orang Islam yang tidak bersalah sewaktu menunaikan solat di dalam sebuah rumah ibadah di dalam negara New Zealand yang dikenali aman dan selamat, sangat-sangatlah keji.
“Pada saat-saat tragedi penuh kebencian seperti ini, semua negara dan semua bangsa harus berdiri berdampingan demi keamanan, hormat untuk kebebasan dan kepelbagaian beragama, toleransi, keharmonian, dan belas kasihan.
“Tamadun manusia terbina bukannya melalui kebencian tetapi melalui kasih sayang antara satu sama lain sebagai umat manusia,” katanya.
DAP juga, katanya yang juga Menteri Kewangan, menyatakan keyakinan terhadap pihak berkuasa New Zealand untuk menangkap semua pembunuh dan memastikan keadilan bagi keluarga mangsa ditegakkan.
“Kami berharap agar bukan sahaja tiga rakyat Malaysia tersebut, tetapi semua yang tercedera akan pulih sepenuhnya,” tambahnya.