Rombakan kabinet fitnah lagakan PH – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desas-desus rombakan Kabinet yang dikatakan bakal berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina sengaja dihangatkan pihak tertentu bagi menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR berkata perkara tersebut dinafikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Dr Mahathir pun dah jelaskan tidak perlu layan khabar angin ini, saya pun ada berjumpa dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas pembedahan.
“Keadaan semua baik, perkara ini tidak berbangkit pun oleh sesiapa. Ia sengaja dihangatkan untuk menimbulkan ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada pembukaan Seminar Antarabangsa Pemikiran Islam Semasa dan Reformasi Masyarakat malam ini.
Anwar mengulas tulisan sebuah blog 2 hari lepas, mendakwa Mohamed Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri yang baru selepas Tahun Baharu Cina.
Menerusi catatan blog itu juga, desas-desus pelantikan Mohamed Azmin itu dikuatkan lagi apabila Dr Mahathir memberikan pelbagai tugasan penting kepada Mohamed Azmin termasuk sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.