Jika DAP menang di Cameron, demokrasi berjaya di Malaysia
Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari 2019 ini ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Selain PRK pertama yang perlu diadakan semula kerana penyalahgunaan kuasa dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, PRK ini juga akan menjadi medan ujian kepada demokrasi yang memasuki era kebebasan sebenar di bawah Pakatan Harapan (PH).
Menurut calon PH, M. Manogaran, PRK ini akan menguji siapakah pilihan sebenar pengundi di Cameron selepas calon MIC pada PRU lalu didapati menang kerana BN menyalahguna kuasa sebagai kerajaan memerintah dalam memberi peruntukan serta bantuan kepada Orang Asli.
Tambah Manogaran, sekiranya beliau menang, keputusan itu akan menjadi mercu tanda bahawa proses demokrasi, keadilan dan ketelusan telah bertapak di dalam era Malaysia Baharu.
“Ramai penduduk di kawasan pedalaman telah membuka mata dan minda mereka setelah PH menang PRU14 lalu. Hari ini mereka tidak teragak-agak hendak menyokong saya.
“Dulu dalam era BN, mereka hanya berani menyokong secara senyap tetapi kini semua pengundi telah rasa berani dan gembira sejak PH menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin banyak lagi manfaat yang boleh dinikmati oleh pengundi Cameron Highlands sebab Kerajaan PH telah pun mengumumkan banyak bantuan kepada masyarakat Orang Asli.
“Semua golongan masyarakat tidak akan ketinggalan untuk menikmati manfaat dari kerajaan baru ini. Dan juga yang lebih penting, dalam era PH semua pilihan raya mesti berjalan dengan proses yang bersih dan telus. Zaman merasuah pengundi telah berakhir,” tegas Manogaran kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau menambah Kerajaan PH akan cuba mengotakan semua janji dalam manifesto walaupun berdepan dengan cabaran hutang negara yang tinggi (RM1 trilion) serta ekonomi sedunia yang lembab.
Katanya, penurunan harga minyak yang bermula pada 5 Januari 2019 merupakan bukti penting Kerajaan PH mampu meringkankan kos sara hidup.