Menteri Besar Pahang disiasat kes beli undi
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes pemberian rasuah ketika kempen pilihan raya umum Mei lalu.
Sumber SPRM mengesahkan siasatan tersebut melibatkan kes pemberian rasuah di kawasan Parlimen Cameron Highlands yang menyebabkan bekas penyandang kerusi tersebut hilang kelayakan.
Sumber berkata, SPRM sudah merakam keterangan Wan Rosdy dan bekas penyandang C Sivarrajh atas dakwaan membayar pengundi ketika kempen pilihan raya umum itu.
“Semua yang boleh membantu siasatan akan dipanggil. Setakat ini keterangan Wan Rosdy dan Sivarraajh sudah diambil berhubung kes berkenaan dan individu lain yang boleh membantu siasatan kes ini akan dipanggil lagi,” kata sumber ketika dihubungi.
Mahkamah Pilihan Raya pada akhir November mengisytiharkan keputusan yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) itu terbatal dan tidak sah.
Hakim Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati terbukti wujudnya amalan rasuah diketahui dan mendapat keizinan bekas penyandang kerusi itu, Sivarraajh.
Azizah berkata, wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Wan Rosdy Wan Ismail atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi untuk memilihnya.
Pemberian rasuah itu didakwa berlaku semasa pertemuan dengan Orang Asli pada 28 April dan pada 3,6,7,8 dan 9 Mei seperti didakwa pempetisyen M Manogaran, calon Pakatan Harapan.
Dalam petisyen yang difailkan pada 4 Jun, Manogaran menamakan Sivarrajh yang juga naib presiden MIC sebagai responden tunggal.
Beliau mendakwa Sivarraajh berkempen bersama Wan Rosdy dan memberi rasuah di antara RM30 dan RM1,000 kepada tok batin Orang Asli supaya pengundi masyarakat itu mengundi calon BN.
Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kelayakan Sivarrajh sebagai ahli Parlimen terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Susulan keputusan itu, SPR mengeluarkan larangan yang menyekat Sivarrajh daripada bertanding dan mengundi dalam pilihan raya selama lima tahun.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman Sivarrajh untuk mencabar keputusan tersebut.
Ekoran kekosongan itu juga, SPR menetapkan pilihan raya kecil diadakan pada 26 Januari. Penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari dan pengundian awal pada 22 Januari.