PROTES AZMIN LANGKAH AWAL UNTUK HALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?
Tindakan Azmin Ali secara terbuka mengkritik dan menolak beberapa perlantikan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim bagi pengisian jawatan dalam PKR dengan jelas menunjukkan beliau kini tidak lagi sebulu dengan Presiden PKR itu.
Ikut hukum berparti, tiada apa yang perlu Azmin pertikaikan dengan perlantikan itu kerana ia adalah hak mutlak Anwar selaku Presiden PKR.
Dalam mana-mana parti, malah dalam UMNO pun begitulah amalannya. Presiden akan melantik sesiapa juga yang disukainya dan dirasakan boleh bekerjasama dengannya.
Tun Mahathir Mohamad sendiri pun pernah mengekalkan jawatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai menteri, meskipun Ahli Parlimen Gua Musang itu kalah sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Musa Hitam.
Lebih daripada itu, di sebalik kalah dan ada bantahan daripada Musa Hitam terhadap kedudukan Tengku Razakeigh dalam kerajaan, tetapi Tun Mahathir terus juga mengekalkannya.
Realitinya, itulah kuasa Perdana Menteri yang tidak jauh bezanya dengan kuasa presiden parti dalam melantik sesiapa yang disukainya.
Apakah Azmin tidak faham mengenai kuasa Anwar itu?
Selain itu, bantahan dan kritikan Azmin juga menampakkan sikap tamaknya mahu mengusai PKR.
Setelah pemimpin-pemimpin yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengannya memenangi 3 daripada 4 jawatan Naib Presiden dan 14 daripada 20 jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR baru-baru ini, adalah agak menghairankan mengapa beliau masih mahu mempertikaikan perlantikan bagi jawatan lain yang memang menjadi hak mutlak Anwar untuk memilih sesiapa saja yang disukainya.
Jika perlantikan Rafizi yang dipertikaikannya, Azmin harus sedar bekas Ahli Parlimen Pandan itu telah memperolehi undi hampir 49 peratus dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Ia dengan sendirinya menunjukkan beliau ada kekuatan dan tidak boleh diketepikan begitu saja.
Begitu juga Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung, selagi Anwar selesa dan senang dengan kerja dan kemampuannya dalam menjalankan tugas, ia tidak harus menimbulkan apa-apa masalah bagi sesiapa.
Yang menerajui parti ialah Anwar dan sudah tentu beliau mahukan pasukan yang dipercayainya untuk bekerja secara rapat dengannya.
Sama halnya dengan lantikan-lantikan lain, memang ada yang tidak puas hati di sana sini mengenainya, tetapi selagi semua orang menyedari ia adalah hak dan kuasa presiden parti, maka ia hendaklah diterima dengan hati yang terbuka.
Lagi pun, Anwar sendiri sudah menjelaskan lantikan daripada pelbagai kelompok yang dibuatnya adalah untuk menjadikan PKR sebuah parti yang inklusif.
Masih susahkah Azmin mahu memahaminya atau semua ini dilakukan dengan sengaja?
Apakah Azmin sekarang ini, oleh kerana sudah ada Tun Mahathir sebagai pelindung dan penaungnya, maka beliau kini begitu bernafsu untuk melonjak lebih tinggi serta tidak segan silu lagi menunjukkan permusuhan dengan Anwar?
Apakah semua tindakan ini secara tidak langsung bertujuan untuk menjadikan PKR tidak padu, parti yang berpecah dan menunjukkan Anwar sebagai pemimpin yang gagal menerajui parti sendiri, lalu akhirnya memberi lorongan untuk Tun Mahathir agar tidak melakukan peralihan kuasa dan terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 pada tahun 2023 nanti? (ShahbudinHusin 29/12/2018)
BEKAS AHLI UMNO TIDAK BOLEH PEGANG JAWATAN HINGGA PRU 15
Bekas ahli Umno tidak boleh pegang jawatan hingga PRU 15
Bekas ahli Umno yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak dibenarkan memegang jawatan sehingga PRU ke-15.
Pengerusi Bersatu memberikan jaminan itu dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
“Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU-15. Lama. Ya lama.
“Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya Umno, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan,” katanya.
Berucap di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan, Mahathir berkata, terdapat ahli Bersatu yang bimbang penerimaan bekas anggota Umno akan membawa budaya parti lama parti mereka.
Bagaimanapun, jelas Mahathir, perkara tersebut tidak akan dibiarkan berkembang dalam Bersatu.
“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita,” katanya lagi.
Sejak enam bulan lalu, Umno menyaksikan satu demi satu wakil rakyatnya lompat parti dan beberapa daripada mereka menyertai Bersatu.
Daripada 54 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-14, kini Umno hanya berbaki 38 anggota parlimen.
Setakat ini, tiga anggota parlimen yang keluar Umno telah diterima ke parti Bersatu iaitu Mustapha Mohamed (Jeli), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah). –
HIMPUNAN BERSATU: MUNGKIN UCAPAN TUN MAHATHIR YANG TERAKHIR
Himpunan Bersatu: Mungkin ucapan Tun Mahathir yang terakhir
Dalam mesej perpisahan penuh beremosi, Dr Mahathir Mohamad berkata ucapan dasarnya sebagai pengerusi Bersatu mungkin menjadi yang terakhir.
Beliau berharap masyarakat Melayu Islam menggunakan peluang baharu yang wujud hasil perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan memecahkan budaya lampau dan membentuk yang baharu.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini berkata, akhirnya, beliau tidak peduli apa yang orang perkatakan mengenai dirinya.
“Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua yang diadakan di Putrajaya malam ini.
Dr Mahathir turut menerima tepukan gemuruh sebaik sahaja menamatkan ucapannya dan ianya diikuti dengan laungan “Hidup Tun” berulang kali oleh perwakilan.
“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.
“Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.”
“Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak. Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita.”
KERAJAAN CAMPURAN UMNO – PH ‘MIMPI MAT JENIN’ – TUN M
Kerajaan campuran Umno – PH ‘mimpi Mat Jenin’ – Tun M
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan yang diidamkan Umno bagi kembali mengambil alih pentadbiran negara hanyalah “mimpi Mat Jenin”.
“Ada yang masih fikir mereka (Umno) sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendirikan kerajaan campuran.
“Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini. Semua harapan ini meleset, mimpi Mat Jenin, mimpi akan sesuatu yang tidak berasas dan tidak akan berlaku.
“Umno sudah hancur, dihancur oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.
Mahathir bagaimanapun tidak mengulas secara spesifik “kerajaan campuran Umno” yang dimaksudkannya.
Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz sebelum ini mendedahkan beliau pernah berjumpa Anwar Ibrahim yang dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri untuk berbincang.
Nazri mendakwa Anwar setuju untuk tidak membubarkan Umno dan sebagai balasan, Umno akan menyokong beliau sebagai perdana menteri.
Nazri bagaimanapun berkata pemimpin Umno hanya akan mesra kerajaan, namun tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan.