Kembalinya semula Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen semalam merupakan satu lagi detik bersejarah dalam hubungan beliau dengan Tun Mahathir Mohamad.
Pernah merupakan gandingan paling rapat ketika dalam UMNO, kemudian terpecah pada 1998, seterusnya berbalah dan saling mengata selama berbelas tahun di pentas ceramah atau melalui saluran media, kedua-duanya kemudian bertemu dan berdamai pada 2016 apabila Tun Mahathir mengunjungi Anwar di mahkamah.
Sejak itu hubungan mereka terus bertaut dan semakin rapat sehingga kedua-duanya dinamakan sebagai calon Perdana Menteri ke-7 dan bakal Perdana Menteri ke-8 dalam kempen PRU14 yang menjadikan Pakatan Harapan merupakan gabungan pembangkang pertama dalam sejarah negara berjaya menumbangkan UMNO dan BN.
Tidak dinafikan bahawa salah satu keyakinan rakyat untuk mengundi Pakatan Harapan dan membuang BN dalam PRU14 ialah kerana gandingan Tun Mahathir dan Anwar yang dipercayai mampu memulihkan negara ini daripada pelbagai kerosakan yang diakibatkan oleh Najib Razak.
Tanpa Tun Mahathir, Pakatan Harapan tidak mungkin menang pilihanraya serta membentuk kerajaan dan tanpa memasukkan nama Anwar juga mustahil Pakatan Harapan mampu beroleh kejayaan.
Selepas lima bulan kemenangan bersejarah pada 9 Mei lalu, hari ini kedua-duanya iaitu Tun Mahathir dan Anwar sudah pun kembali berada Parlimen sepertimana kali terakhir kita pernah saksikan gandingan mereka pada tahun 1998 dahulu.
Tetapi, kali ini Tun Mahathir adalah sebagai Perdana Menteri dan Anwar hanyalah sebagai Ahli Parlimen biasa saja. Meskipun Timbalan Perdana Menteri ialah Dr. Wan Azizah Wan Ismail, namun bakal pengganti kepada Tun Mahathir yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan ialah Anwar, bukan Dr. Wan Azizah yang menjadi orang nombor dua dalam kerajaan sekarang.
Walaupun kembalinya semula Anwar sebagai Ahli Parlimen kian mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan dan persoalan untuk meletakkan beliau sebagai pengganti Tun Mahathir tidak menjadi masalah lagi, tetap ternampak ada kejanggalan yang amat ketara di mana bakal Perdana Menteri ke-8 hanya Ahli Parlimen biasa dan bukan sebagai sebahagian anggota kerajaan.
Untuk itu, sesuai dengan kembalinya semula Anwar sebagai Ahli Parlimen serta kemenangan besar yang telah diraihnya dalam pilihanraya kecil Port Dickson baru-baru ini yang memberi gambaran pengundi memang tidak meragui langsung kedudukannya ssbagai bakal Perdana Menteri ke-8, maka adalah wajar bagi Tun Mahathir untuk melakukan rombakan kabinet dalam waktu yang terdekat ini.
Anwar perlu dikembali dan diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menggantikan Dr. Wan Azizah sebagai sebahagian proses dan pengiktirafan bahawa beliau adalah bakal Perdana Menteri yang seterusnya.
Adalah lebih cantik jika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri, berbanding daripada kerusi Ahli Parlimen biasa terus "melompat" mengambili alih jawatan ketua kerajaan daripada Tun Mahathir.
Selain itu, dengan adanya Anwar dalam kabinet, kedudukan kerajaan juga dengan sendirinya akan bertambah kukuh dan mantap berbanding sekarang yang hanya Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin saja merupakan pemimpin yang ada pengalaman dalam pentadbiran di peringkat persekutuan.
Terlanjur dengan rombakan itu nanti, bolehlah juga Tun Mahathir menukar atau menggugurkan beberapa menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik atau lebih banyak menimbulkan kecaman orangramai berbanding perkhidmatan mereka kepada rakyat dan negara.
Dalam era Malaysia Baru ini, kita tidak perlu menteri-menteri yang kemaruk dengan gelaran Datuk dan Datuk Seri, suka bercakap soal remeh dan picisan seperti stokin atau menteri yang merasakan dirinya macam "artis popular" dengan suka memuatnaik di media sosial gambar mandi tanpa baju dalam "bathtub" untuk tontotan seluruh dunia.
Perangai sesetengah anggota kabinet yang cukup memualkan ini, bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada penyokong Pakatan Harapan sendiri, sewajarnya ditangani dengan segera oleh Perdana Menteri sebelum tanda-tanda penolakan rakyat menjadi semakin ketara.
Mewujudkan semula gandingan Tun Mahathir dan Anwar dalam kerajaan, sambil dibuang beberapa menteri yang menyakitkan mata dan menyesakkan dada, barangkali adalah penawar untuk memulihkan kembali keyakinan sebahagian rakyat yang sudah mula "putus harapan" kepada kerajaan Pakatan Harapan.