Keputusan bicara Najib – Rosmah penentu masa depan Malaysia
Pendakwaan demi pendakwaan ke atas pasangan bekas orang nombor satu, Najib dan Rosmah masih tidak begitu meyakinkan pelabur asing terhadap ketelusan institusi perundangan Malaysia.
Sebaliknya, keputusan ke atas perbicaraan tersebut kelak akan menentukan pemulihan integriti institusi kehakiman dan menjamin urus tadbir lebih baik.
Bagi Exco Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, pendakwaan ke atas bekas PM itu menjadi tanda reformasi sistem telah berlaku di Malaysia dan akan mengembalikan keyakinan komuniti perniagaan sekiranya hukuman dijatuhkan berdasarkan prinsip ‘rule of law’
“Yang penting ialah prosiding mahkamah. Rakyat, para pelabur asing dan tempatan, pemerhati politik serta wartawan dari negara asing tidak sabar menunggu mahkamah untuk memutuskan sama ada mereka yang didakwa itu bersalah atau pun tidak.
“Masa depan Malaysia akan ditentukan oleh hal ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Mengulas hal sama, seorang pelabur dalam industri, Jameson Tan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih pro-aktif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan tidak perlu menunggu institusi kehakiman memulihkan imej negara. Kemasukan FDI, katanya akan menambah peluang pekerjaan dan menepati janji manifesto PH untuk mewujudkan sejuta pekerjaan dalam tempoh 5 tahun.
“Dengan pembatalan atau penundaan projek mega untuk mengurangkan hutang negara, dasar ekonomi negara mesti menjelaskan secara terperinci pelan dan rancangan kerajaan untuk menarik FDI kerana ini FDI mampu menggerakkan ekonomi dengan memberi lebih peluang pekerjaan serta membangunkan berbagai sektor industri,” katanya.
Beliau juga berharap proses keadilan ke atas Najib dan Rosmah tidak dilengah-lengahkan bagi memastikan imej negara benar-benar pulih.
“Pesalah-laku patut didakwa dengan cepat dan kalau dapat dibuktikan dengan kukuh mereka adalah bersalah, hukuman yang setimpal mesti dijatuhkan.
“Ramai pelabur asing sedang memantau situasi ini dan kita mahukan satu institusi kehakiman yang bersih dan telus.
“Hanya dengan institusi awam seperti polis dan kehakiman yang jujur, amanah, bertanggungjawab dan berwibawa barulah pelabur asing akan datang ke Malaysia,” katanya.