PKR SELANGOR MASIH TIDAK SOKONG ANWAR SEBAGAI PRESIDEN
PKR Selangor masih tidak sokong Anwar sebagai presiden
Rafizi Ramli mendakwa PKR Selangor masih belum mengeluarkan kenyataan yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai bakal presiden, tidak seperti yang dilakukan oleh PKR di negeri-negeri lain.
Bercakap di sebuah hotel di Shah Alam malam tadi, calon timbalan presiden itu mendakwa PKR Selangor tidak pernah mengeluarkan surat sokongan bagi menyokong Anwar yang menang tanpa bertanding.
“Negeri lain dah setuju. Terengganu keluarkan kenyataan menyatakan mereka menyokong, Negeri Sembilan sokong, Wilayah Persekutuan sokong, Perlis sokong, begitu juga Pahang.
“Hingga ke hari ini, Selangor tidak keluarkan kenyataan sokongan,” kata Rafizi ketika berucap di Hotel De Palma malam tadi.
“Boleh semak sekarang, kepimpinan PKR Selangor sampai ke hari ini masih belum beri kenyataan menyokong Anwar sebagai presiden,” tambah beliau.
Rafizi kemudian berkata walaupun Selangor masih belum mengeluarkan surat sokongan, terdapat beberapa ahli PKR di negeri itu yang telah mempersoalkan keputusan Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
“Tetapi sebaliknya ada individu dalam PKR mempersoalkan Anwar bertanding di Port Dickson,” kata Rafizi.
Bekas menteri besar Mohamed Azmin Ali yang kini menteri hal ehwal ekonomi merupakan ketua PKR Selangor.
Rafizi menambah, beliau sebelum ini memberitahu Anwar bahawa perjalanan bekas timbalan perdana menteri itu ke Putrajaya bukanlah semudah yang disangka.
“Saya kata, Datuk Seri, jangan ambil ringan perkara ini. Jangan hanya kerana kita dah menang, perjalanan Datuk Seri ke Putrajaya selamat.”
“Selama 20 tahun, beliau keluar masuk penjara. Kami mahu beliau jadi perdana menteri bukan kerana taksub, tetapi kami yakin beliau akan menjadi perdana menteri terbaik untuk negara ini,” kata Rafizi. –
LANGKAH PD DIATUR ELAK HURU-HARA PERALIHAN KUASA – CHAN MING KAI
Langkah PD diatur elak huru-hara peralihan kuasa – Chan Ming Kai
Biar pun Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 29 September dan mengundi pada 13 Oktober, namun di media sosial rakyat masih lagi membincangkan isu perlu atau tidak diadakan PRK tersebut.
Bagi Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai pertikaian mengenai PRK tidak harus timbul memandangkan penjelasan panjang lebar telah diberi oleh beberapa pimpinan utama PKR termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Menurut Ming Kai, ‘Langkah PD’ tersebut telah dijelaskan kepada rakyat sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lagi, iaitu sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang, satu kerusi akan dikosongkan bagi membolehkan Anwar menjadi perdana menteri ke-8 sebagaimana diputuskan pada 7 Januari 2018.
“Orang yang menentang Langkah PD memberi hujah ‘membuang wang dan masa’ tetapi mereka telah lupa bahawa jika Anwar tidak dipenjarakan pada Februari 2015, pilihan raya kecil ini tidak perlu diadakan.
“Langkah PD bukanlah satu pelan minit-minit terakhir kerana ini adalah ‘succession plan’ atau rancangan untuk masa depan negara supaya apabila Tun Dr Mahathir bersara kelak, ada pemimpin yang berkaliber yang sudah sedia mengambil tempat beliau.
“Ini supaya pihak musuh, pihak pembangkang atau mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan mengucar-kacirkan keadaan selepas persaraan Tun Mahathir.
“Semua pihak di PH mahu pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan sempurna dari satu PM ke PM yang seterusnya,” kata Ming Kai kepada Suara pakatan Daily.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakyat, terutama pengundi di Port Dickson tidak lagi melayan polemik perlu atau tidak PRK, sebaliknya menumpukan usaha mengangkat Anwar kembali ke Parlimen.
Namun katanya, sebahagaian pengundi di Port Dickson teruja untuk memastikan Anwar menang dan memastikan mereka diwakili oleh seorang perdana menteri selepas 2 tahun.
“Saya membaca akhbar harian bahasa Cina dan dilaporkan ramai pengundi berbagai bangsa yang ditemuramah berasa gembira Anwar Ibrahim akan datang ke Port Dickson dan mereka gembira kerana bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 akan datang ke kawasan itu.
“Mereka kata ia adalah satu penghormatan yang diberi kepada pengundi Port Dickson,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ming Kai yakin Anwar akan menang dan peratusan yang keluar mengundi pasti akan lebih tinggi daripada PRK Balakong dan Seri Setia pada Ogos lalu.
“Sekarang pun, bahang PRK mula dirasai dan tentu ramai pelancong tempatan dan pemerhati politik akan bergegas ke Port Dickson. Ini akan menghangatkan dan memeriahkan lagi senario politik tanahair yang pada masa ini sudah agak ‘lembab’ tetapi PRK Port Dickson akan memberi satu suntikan momentum sekejap lagi,” tambahnya.
AHLI PERTIGA SERTAI PKR DIMINTA KELUAR MENGUNDI
Ahli Pertiga sertai PKR diminta keluar mengundi
Ahli Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) Malaysia yang menyertai PKR diminta keluar mengundi pada pemilihan parti nanti bagi meraikan ruang demokrasi.
Presidennya, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, tindakan itu amat perlu untuk memilih pemimpin masa depan parti
“Saya yakin (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan (Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menjadi gandingan mantap untuk menerajui negara kelak.
“Wajar jika ahli Pertiga yang berdaftar dengan PKR untuk melaksanakan tanggungjawab demokrasinini demi masa depan generasi akan datang,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang diilhamkan Azmin adalah satu bukti bahawa kita harus menyokong dan mengangkat mereka sebagai pemimpin yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan rakyat dan Bumiputera.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ahli-ahli Pertiga yang berada dalam PKR untuk memberi sokongan padu kepada gandingan ini unyuk masa depan Malaysia baharu yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini Pertiga mempunyai seramai 170,000 ahli yang berdaftar di seluruh negara.