Langkah PD diatur elak huru-hara peralihan kuasa – Chan Ming Kai
Biar pun Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 29 September dan mengundi pada 13 Oktober, namun di media sosial rakyat masih lagi membincangkan isu perlu atau tidak diadakan PRK tersebut.
Bagi Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai pertikaian mengenai PRK tidak harus timbul memandangkan penjelasan panjang lebar telah diberi oleh beberapa pimpinan utama PKR termasuk Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Menurut Ming Kai, ‘Langkah PD’ tersebut telah dijelaskan kepada rakyat sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lagi, iaitu sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang, satu kerusi akan dikosongkan bagi membolehkan Anwar menjadi perdana menteri ke-8 sebagaimana diputuskan pada 7 Januari 2018.
“Orang yang menentang Langkah PD memberi hujah ‘membuang wang dan masa’ tetapi mereka telah lupa bahawa jika Anwar tidak dipenjarakan pada Februari 2015, pilihan raya kecil ini tidak perlu diadakan.
“Langkah PD bukanlah satu pelan minit-minit terakhir kerana ini adalah ‘succession plan’ atau rancangan untuk masa depan negara supaya apabila Tun Dr Mahathir bersara kelak, ada pemimpin yang berkaliber yang sudah sedia mengambil tempat beliau.
“Ini supaya pihak musuh, pihak pembangkang atau mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan mengucar-kacirkan keadaan selepas persaraan Tun Mahathir.
“Semua pihak di PH mahu pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan sempurna dari satu PM ke PM yang seterusnya,” kata Ming Kai kepada Suara pakatan Daily.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakyat, terutama pengundi di Port Dickson tidak lagi melayan polemik perlu atau tidak PRK, sebaliknya menumpukan usaha mengangkat Anwar kembali ke Parlimen.
Namun katanya, sebahagaian pengundi di Port Dickson teruja untuk memastikan Anwar menang dan memastikan mereka diwakili oleh seorang perdana menteri selepas 2 tahun.
“Saya membaca akhbar harian bahasa Cina dan dilaporkan ramai pengundi berbagai bangsa yang ditemuramah berasa gembira Anwar Ibrahim akan datang ke Port Dickson dan mereka gembira kerana bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 akan datang ke kawasan itu.
“Mereka kata ia adalah satu penghormatan yang diberi kepada pengundi Port Dickson,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ming Kai yakin Anwar akan menang dan peratusan yang keluar mengundi pasti akan lebih tinggi daripada PRK Balakong dan Seri Setia pada Ogos lalu.
“Sekarang pun, bahang PRK mula dirasai dan tentu ramai pelancong tempatan dan pemerhati politik akan bergegas ke Port Dickson. Ini akan menghangatkan dan memeriahkan lagi senario politik tanahair yang pada masa ini sudah agak ‘lembab’ tetapi PRK Port Dickson akan memberi satu suntikan momentum sekejap lagi,” tambahnya.