Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyeru agar institusi masjid tidak terjerumus dijadikan alat politik pihak tertentu yang hanya mampu memecahbelahkan perpaduan kaum dan keamanan negara ini.
Tegasnya, masjid merupakan tempat umat Islam beribadah serta menyampaikan nasihat dan bukannya sebagai tempat menyebarkan dakyah politik memburuk-burukkan kerajaan yang boleh mencetuskan kebencian di kalangan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian semalam berhubung dakwaan Pakatan Harapan Pahang yang kesal apabila masjid dijadikan tempat menyebar fitnah.
Laporan itu merujuk kepada khutbah Jumaat baru-baru ini yang dilihat seolah-olah cuba menimbulkan persepsi negatif mengaitkan kononnya Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Agama bersikap mesra kepada golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT).
“Khutbah yang berunsur politik tak perlulah mengelirukan makmum.
“Saya harap kerajaan negeri mahupun pusat boleh ambil tindakan sewajarnya. Ini perkara serius kerana boleh timbulkan kebencian dan perpecahan di kalangan masyarakat atas alasan agama,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu turut mengimbas isu yang berlaku dalam khutbah Hari Raya Aidil Adha di Pahang pada tahun 2014.
Teks khutbah itu secara jelas menuduh orang Islam yang berada dalam sesetengah parti khususnya DAP kononnya secara terang-terangan menentang Islam.
“Tuduhan sebegini adalah sangat melampau dan bahaya begitu juga yang dilaporkan baru-baru ini. Jangan kotorkan agama Islam dengan sikap kita sendiri.
“Saya amat berharap agar semua pihak tidak mempergunakan agama sehingga Islam mendapat gambaran yang salah, lebih-lebih lagi apabila ada pihak membuat dakwaan berunsur fitnah kononnya bercakap atas dasar agama,” katanya lagi.