Mukhriz selar Annuar Musa kata Langkawi PRK akan datang
Datuk Seri Mukhriz Mahathir membidas Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa kerana menyebut “Langkawi” dalam ramalan pilihan raya kecil akan datang.
Timbalan presiden PPBM itu berkata tindakan pemimpin Umno itu menyebut kerusi yang disandang bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, tidak beradab.
“Saya juga ketahui ada Pemuda Umno berkata perkara sama. Ia bukan perkara yang enak didengar,” katanya sewaktu ditemui di ceramah PRK DUN Sungai Kandis malam tadi.
Terdahulu, Annuar berkata berlakunya PRK di DUN Sungai Kandis dan DUN Balakong, hampir 3 bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, sebagai ujian Tuhan kepada rakyat Selangor.
“Saya percaya selepas ini Tuhan akan tentukan banyak lagi pilihan rahya kecil. Tidak tahu di mana, Langkawi atau di mana. Jangan Ketereh sudah,” katanya di pusat operasi BN di Sungai Kandis semalam.
Mukhriz berkata hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan dan tidak mustahil individu yang mendoakan perkara buruk menimpa bapanya akan mati terlebih dulu.
“Soal ajal bukan di tangan kita. Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan. Jika 3 tahun dulu tuan-tuan tanya saya adakah Umno kuat, saya akan kata ‘kuat’ tetapi lihat apa yang berlaku sekarang.”