Dinamik politik baru dalam tempoh 20 tahun kebelakangan pasca reformasi telah banyak mengolah corak fikir dan sudut pandang rakyat Malaysia. Tambahan lagi apabila politik arus perdana selama ini dibelenggu dalam rangka fikir idea feudal, perkauman dan agama, dengan wajah-wajah tua.
Justeru tidak hairan apabila regim lebih 60 tahun UMNO-Barisan Nasional (BN) tewas, ia disambut dengan pelbagai slogan; Malaysia Baru misalnya yang disebut-sebut sekalian masyarakat, termasuk sebahagian gerombolan cybertrooper BN yang masih setia kepada tuan lamanya.
Bermula dari revolusi aman tergulingnya kerajaan Najib Razak, ia membenarkan bahawa kesedaran politik rakyat sudah meningkat ke tahap yang lebih tinggi – termasuk Syahredzan Johan, yang beranggapan bahawa rakyat khususnya orang melayu sudah berani mengatasi segala ketakutan dan gelisah kaum-agama yang dimomok UMNO selama ini.
Syahredzan Johan, peguam muda yang baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata keghairahan politik golongan muda untuk melakar sejarah baru Malaysia telah terbukti.
“Bagi aku rasanya orang mudalah yang berjaya realisasikan apa yang kita nampak. Jika lihat data, orang muda bawah 40 tahun, bawah 45 tahun, mereka paling terkesan dalam isu kos sara hidup dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, antara faktor yang turut menyumbang kepada ghairah perubahan politik golongan muda ialah tahap pendidikan, pembacaan, melalui teknologi maklumat dan tidak dibelenggu beban sejarah lampau seperti peristiwa 13 Mei.
Anak kelahiran Selangor itu ada sebab tersendiri mengapa beliau tertarik menyertai politik dan memilih DAP sebagai wadahnya.
“Aku masuk politik sebab sedar, nak beri sumbangan untuk buat perubahan bermakna, kena melalui parti politik. Ini bukan bermakna NGO tak berfungsi atau tak efektif (tetapi) secara peribadi aku nampak perkara yang libatkan dasar, undang-undang dan sebagainya perlu melalui parti politik.
“Kita boleh beri tekanan daripada luar tapi jika betul-betul nak lakukan sesuatu kena (masuk) dengan politik dan cuba buat perubahan melalui parti politik,” katanya.
Liberal, sekular, kafir
Penyertaan golongan muda dan Melayu sebagai kader DAP sejak sekian lama dibelenggu dengan tohmahan yang dikaitkan sebagai liberal, sekular malah sehingga ada yang dikafirkan sesetengah pihak.
Namun, bagi Syahredzan, segala dakwaan itu tidak tepat dan tuduhan dibuat hanya berdasarkan stigma serta salah faham terhadap konsep-konsep hak asasi yang sebenar.
“Orang salah faham tentang sekularisme mengatakan bahawa ia tak ada agama walhal sekular itu bermakna pemisahan agama dan pentadbiran.
“Kalau ikut konsep sekular Perancis, pentadbiran di Malaysia tak sekular. Perancis betul-betul terpisah (dengan agama) maknanya tak boleh ada agama langsung dalam pentadbiran, ataupun dalam politik. Tapi di Jerman pula lain – jadi, sekularisme Jerman pula berbeza dari Perancis. Kita (Malaysia) pun sekular juga tapi sekular acuan kita,” jelasnya.
Katanya, disebabkan stigma yang terlalu menebal, masyarakat Islam tidak melihat bahawa pentadbiran sekular yang di amalkan di negara barat telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada penganut agama Islam untuk beramal dengan ajaran mereka.
Justeru sekularisme katanya adalah penting dalam sesebuah pentadbiran agar tidak wujud diskriminasi ke atas mana-mana kumpulan.
“Aku dah lama rasa memang kita perlu sekularisme dan pandangan bahawa negara kita ini asasnya juga adalah sekular walaupun ada undang-undang syariah.
“Jadi bila kita nak buat undang-undang contohnya, orang yang akan gubal undang-undang tu siapa? Bukan orang Islam sahaja. Ia perlu melalui proses sekular di mana ia perlu digubal, dibincangkan dibahaskan oleh semua wakil rakyat.
“Jadi itu adalah proses sekularlah. Jadi untuk kata DAP sekular, memang aku tak ada masalah,” kata Syahredzan.
Beliau turut menyanggah dan menjawab segala momokan liar yang sering didakyahkan jentera propaganda UMNO-BN terutama berhubung kedudukan istimewa Raja, Melayu dan Islam yang kononnya semakin terhakis.