MALANG SEORANG NAJIB....



Ketika berkuasa dahulu, semua soalan dan pertanyaan mengenai 1MDB akan ditolak mentah-mentah oleh Najib Razak.

Baik ketika sidang akhbar, dalam Perhimpunan Agung UMNO, sessi Parlimen dan apalagi debat, semuanya tidak dibenarkan sama sekali.

Di Parlimen, walaupun setiap kali sessi ada saja soalan mengenai 1MDB dibangkitkan, namun hampir semuanya ditolak begitu saja.

Hanya ada satu atau dua soalan saja yang dibenarkan, itupun jawapan yang diberi hanyalah secara bertulis.

Malah, sesiapa yang cuba bertanya atau menyoal mengenai 1MDB, kalau pun tidak dipecat dan dibuang kerja, pasti akan dibalas dengan wajah yang masam mencuka.

Ada seorang teman pernah berjumpa secara peribadi dengan Najib di rumahnya lalu menyarankan agar diwujudkan laporan kertas putih mengenai 1MDB, beliau kemudian ditinggalkan oleh Najib dengan alasan mahu naik sebentar ke biliknya, tetapi tidak lama kemudian datang orang gajinya lalu memberitahu agar balik dengan segera.

Bersama sokongan, disertai pujian, bodek, ampu dan cium tangan oleh para pemimpin UMNO yang mendewa-dewakannya, termasuk Pemuda UMNO yang sanggup menjulang dan memberi tabik kepadanya, Najib terus terbuai dengan keangkuhan dan kesombongannya, meskipun rakyat di bawah kian meluat dan membencinya hari demi hari.

Ditambah lagi dengan bantuan media kerajaan dan televisyen yang setiap hari menyiarkan berita-berita gembira saja, kelekaan Najib juga turut bertambah sama.

Di waktu-waktu tertentu dan dalam ucapan sehala pula, Najib selalu memperlekeh dan memandang rendah mereka yang mengkritik 1MDB seolah-olah syarikat pelaburan yang diwujudkannya itu suatu kejayaan paling besar dalam sejarah negara.

Begitulah keangkuhan dan kesombongan Najib ketika berkuasa dahulu.

Tetapi, selepas UMNO kalah pilihanraya dan Najib sendiri hilang kuasa, keadaan sudah terbalik jadinya.

Apa saja isu yang dibangkitkan oleh kerajaan baru mengenai 1MDB, Najib dengan pantas memberikan jawapannya.

Sejak tidak bergelar Perdana Menteri, beliau nampaknya lebih sibuk menjawab atau menjelaskan apa saja perkara yang didedahkan  kerajaan, khususnya oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai 1MDB, sementara para pemimpin UMNO lain semuanya hanya mendiamkan diri dan bagaikan sudah malas mahu berhujah lagi.

Jika dulu ramai pemimpin UMNO yang sedia bangun bersuara apabila saja ada isu mengenai 1MDB dibangkitkan, tapi kini Najib hanya berjuang seorang diri saja.

Jika dulu juga, wartawan Malaysiakini merupakan antara portal berita yang dihalang daripada menghadiri sidang media selepas mesyuarat MT UMNO atau ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, sebaliknya kini Najib sendiri yang pergi ke pejabat portal berita itu bagi memberikan interbiu khas dengan sebahagian besar topiknya ialah mengenai 1MDB.

Lebih daripada itu, Najib kini sedia menjawab apa saja soalan yang ditanyakan kepadanya.

Malang sungguh nasib seorang yang bernama Najib yang pernah menjadi Perdana Menteri ketika ini - sudahlah kena menjawab hampir setiap hari mengenai 1MDB, beliau juga tinggal seorang diri saja melakukannya.

Tiada lagi Nazri Aziz, Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Aziz Kaprawi bersamanya, malah ada Ketua UMNO Bahagian yang dulu menjerit kuat sanggup mati kerana Najib, turut tidak kedengaran lagi suaranya sekarang ini.

Selepas ditangkap dan dibicarakan di mahkamah nanti, Najib juga pasti akan terus sendirian lagi. Malah, jika dipenjarakan, terus bertambah beliau dilupakan, termasuk oleh mereka yang pernah menerima wang daripadanya. (ShahbudinHusin 29/06/2018)

Menuai teladan dari perkelahian tentang Bahasa Kebangsaan



Polemik bahasa meletus. Negara jadi gempar. Lim Guan Eng semena-mena dimomok jadi makhluk paling jahat. Segala bangkai masalah negara sekelip mata dialihkan ke atas batu jemala Lim Guan Eng.

Riuh rendah ribut bahasa ini turut hangat diwacanakan oleh masyarakat, budayawan, aktivis dan pemimpin politik. Semua menunjukkan rasa cakna mendalam terhadap kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Dengan sekelip mata, seluruh garis masa laman sosial Facebook dibanjiri caci maki terbuka – tak kurang juga mereka yang membela. Masing-masing berpencak silat, meletak halal haram, sunat makruhnya perbuatan Guan Eng itu.

Namun, disebalik polemik yang menjurus kearah sentimen perkauman ini, Guan Eng cermat dan tenang menerima sebarang teguran dan cadangan  lebih-lebih lagi kritikan keras yang didorong manipulasi fakta dan dakyah, umpama api disimbah minyak.

Dalam kenyataan rasminya, Guan Eng telah memberi penjelasan dan menegaskan pendirian tentang kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara kerajaan. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam ulasannya menganggap sekadar kesalahan kecil dan bukan isu.

Segalanya bermula hanya kerana kenyataan media yang ditulis dalam bahasa Mandarin digambarkan seolah-olah mahu menggantikan bahasa kebangsaan – walhal tidak sama sekali kerana beliau menyediakan kenyataan media dalam tiga bahasa. Bagi saya, soal ini sengaja dibesar-besarkan.

Seperkara yang mungkin gagal dicermati sebagaian kita yang tenggelam dalam emosi dan amarah melampau mungkin datang dari kegagalan kita memahami kepentingan komunikasi. Ketulusan Guan Eng yang berniat memudahkan petugas media  telah menjebakkan dirinya apabila mengundang kritikan hebat. Perkara ini amat tidak diduga.

Pada pandangan saya, Menteri Kewangan itu hanya mahu petugas media mendapat maklumat yang jelas, tepat dan padu berhubung ketirisan kewangan yang berlaku kepada projek mega kerajaan terdahulu – lebih-lebih lagi rejim Najib Razak telah berjaya mencampakkan negara kekancah kleptokrasi global dengan skandal puluhan malah ratusan billion yang bukan sedikit.

Namun akhirnya, niat baik Guan Eng dikejutkan dengan serangan bertalu-talu khususnya dari calon-calon pemimpin, cybertrooper dan portal-portal pro-UMNO sehinggalah melarat-larat.

Situasi ini mengimbau ingatan kita terhadap Ops Lalang pada tahun 1987 yang menyaksikan puluhan pemimpin politik khususnya daripada DAP yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran isu melibatkan sekolah jenis kebangsaan Cina – dan ketika itu juga, UMNO sedang berhadapan dengan pemilihan mereka. Keadaan itu sama seperti sekarang.

Dengan ‘kejayaan’ UMNO mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal yang dilakukan bekas pemimpin mereka kepada isu bahasa ini, maka masing-masing berjaya melonjakkan nama sebagai ‘wira’ dan mendapat undi perwakilan apabila menyerang Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP itu.

UMNO telah separuh berjaya membantutkan tumpuan rakyat yang mengikuti secara dekat pembongkaran penyelewengan berat kerajaan terdahulu lebih-lebih lagi pemimpin UMNO yang berada dalam kem Najib Razak sebelum ini yang mungkin terlibat.

Saya perlu akui, dalam keadaan ini, tidak semuanya tidak bagus. Ada teladan di sebalik kejadian. Polemik ini secara langsung telah menonjolkan bahawa rakyat Malaysia semakin terbuka untuk berbeza pandangan berwacana secara jujur tentang dasar-dasar nasional khususnya melibatkan sendi utama Perlembagaan Persekutuan dan identiti Bangsa Malaysia.

Maka bukan menjadi keanehan apabila Malaysia Baru pasca ‘revolusi aman’ Pilihan Raya Umum ke-14 mencerminkan berlakunya proses pendemokrasian yang lebih mengakar dan membumi.

Rakyat dan media bebas bersuara, termasuk pemimpin-pemimpin dari komponen Pakatan Harapan yang mengutarakan pandangan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Tidak ada salahnya juga sekiranya saya berterima kasih kepada Menteri Kewangan kerana dengan tercetusnya polemik ini, ia merancakkan lagi proses pendemokrasian dan kebebasan bersuara yang sekaligus merancakkan lagi wacana rakyat demi pengukuhan dasar-dasar nasional yang lebih holistik. Ya, zaman tukang angguk dan tukang bodek sudah berlalu, ini masanya kita terus pandang kehadapan.

Najib dapat hadiah RM19 juta setahun?



Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah ‘terkhilaf’ menerima hadiah selama selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan kerana ia bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi penganiayaan terhadap amanah rakyat.

“Biarlah kita mengingatkan Najib Razak bahawa menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, maksud ‘suapan’ merangkumi ‘wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta’.

“Pengakuan penerimaan ‘hadiah’ ini oleh Najib Razak sendiri ini adalah mencukupi untuk beliau dibawa ke ambang keadilan untuk dibicarakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau membangkitkan persoalan bagaimana Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mampu menerima dan mengumpul ‘hadiah’ yang dianggarkan bernilai antara RM686 juta sehingga nilai RM1.1 bilion.

Soalnya, bukankah hadiah-hadiah tersebut diterima kerana kedudukan Najib selaku pimpinan utama negara selama 36 tahun bermula ketika menjawat jawatan Menteri Besar dari tahun 1982 sehingga jawatan Perdana Menteri yang berakhir pada 2018.
“Sekiranya kita membahagikan nilai minima sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan beliau, secara puratanya setiap tahun Najib akan menerima ‘hadiah’ bernilai RM19 juta atau bersamaan dengan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!” katanya yang juga seorang peguam.

Beliau menambah, kenyataan Najib kononnya ‘hadiah mewah’ bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk dipamerkan suatu hari nanti adalah tindakan yang dilihat cuba memperbodohkan rakyat.

“Kenyataan sebegini adalah langsung tidak masuk akal,” katanya.
Katanya, jika tidak berlaku perubahan kerajaan 9 Mei lalu, pameran yang disebut-sebut Najib tersebut akan terus kekal sebagai ‘koleksi peribadi Rosmah Mansor’ dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia

Kisah DAP menang pilihan raya tapi kalah hegemoni budaya




UMNO bersama Barisan Nasional yang menguasai politik negara sejak Malaya merdeka selama lebih 60 tahun akhirnya tersungkur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, walaupun tewas kuasa, hegemoni Umno masih kukuh di sanubari majoriti rakyat, khususnya di kalangan orang Melayu.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) belum mengubah kesan hegemoni budaya ini.

Hegemoni budaya bermaksud penguasaan terhadap minda masyarakat melalui cara lembut dan halus tanpa paksaan.
Sejak awal lagi, melalui institusi keluarga, agama, sekolah dan persatuan, rakyat diajar untuk menerima bahawa ideologi, kepercayaan dan amalan kelas pemerintah merupakan jalan yang betul dalam kehidupan seharian.

Apabila Lim Guan Eng selaku menteri kewangan mengeluarkan kenyataan media dalam Bahasa Melayu yang disertakan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, ia dijadikan isu yang dituduh sebagai meremehkan bahasa kebangsaan.

Walaupun Guan Eng menjelaskan Bahasa Melayu sentiasa digunakan untuk urusan rasmi manakala bahasa-bahasa lain hanya sebagai terjemahan, ia tidak masuk ke dalam benak orang yang membuat tohmahan terhadapnya.

Dalam hal ini, realiti politik (baca: kepercayaan dan kehendak kaum majoriti) telah menjadi amalan politik, sosial, ekonomi, budaya, pendidikan dan pelbagai lagi di Malaysia.

Fakta menjadi tidak penting berbanding amalan-amalan yang dicipta sejak lebih 60 tahun lalu.
Ini menunjukkan hegemoni Umno masih kuat terlekat pada minda sesetengah kalangan rakyat. Sedangkan Guan Eng tidak melanggar apa-apa peraturan, malah undang-undang membenarkannya.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi dengan memberi jaminan hak terjemahan. Seksyen 3 Akta tersebut menjelaskan:

“Tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak kerajaan persekutuan atau hak kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.”

Satu lagi contoh berkaitan dengan jawatan perdana menteri. Sebenarnya mana-mana rakyat Malaysia yang layak boleh menjadi perdana menteri, tidak kira sama ada beliau lelaki atau perempuan, Melayu atau bukan-Melayu, dan beragama Islam atau agama lain.

Yang disyaratkan oleh Perlembagaan Persekutuan adalah perdana menteri mestilah warganegara Malaysia yang merupakan ahli Parlimen, yakni secara khususnya seorang anggota Dewan Rakyat, dan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dengan itu, mengikut undang-undang tertinggi di Malaysia, seorang rakyat Malaysia daripada kaum India, Cina, Kadazandusun, Iban dan banyak lagi menjadi perdana menteri.

Namun, realiti politik telah mengajar yang tiada siapa daripada kaum-kaum bukan-Melayu dan penganut agama-agama lain menuntut jawatan perdana menteri.

Sebelum PRU14, heboh dengan fitnah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika PH menang. Kini, ia terbukti bohong semata-mata.

Kit Siang bukan sahaja tidak menuntut menjadi perdana menteri, malah menolak jawatan dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Malah, kedudukan DAP dalam Kabinet biasa-biasa sahaja walaupun ia memperolehi 42 kerusi Parlimen yang agak banyak berbanding parti-parti komponen PH.

DAP yang berideologikan sosial demokrasi serta berprinsipkan demokrasi, keadilan, kebebasan dan hak asasi terpaksa menerima hakikat realiti politik ini.

Ia sedar kebanyakan perkara yang dilakukannya tidak menjadi kesalahan pun tetapi mungkin kerana namanya DAP dan dikaitkan pula parti dengan kaum Cina, maka ia menjadi sasaran oleh pelampau kaum.

Apabila diserang sedemikian, sesetengah golongan sederhana dan liberal di kalangan Melayu juga takut dengan keadaan itu. Akhirnya yang disuruh tutup mulut bukannya pelampau kaum tetapi DAP pula yang dipaksa diam.

Dalam menangani hegemoni budaya ini, nasib DAP tidak ubah seperti timun dan durian, yakni menggolek rosak, digolek binasa.

Namun hidup tidak selalunya suram. Sudah ada suara-suara dalam kalangan orang Melayu yang mempertahankan DAP atas prinsip berani kerana benar. Walaupun  jumlah mereka kecil, ia mencerminkan ada potensi untuk perubahan.

Mungkin suatu hati nanti suasana akan berubah. Sementara menanti saat itu, ahli dan pimpinan DAP perlu banyak bersabar.

Seperti parti-parti lain, DAP bukan parti suci tetapi dalam banyak-banyak yang ada, ia lebih berprinsip dan cekal dalam perjuangannya berbanding yang lain. Kerana sudah membina rumah di tepi pantai, pimpinan dan ahli DAP perlu berani dan reda dilambung ombak, termasuk ribut taufan yang bergelar hegemoni Umno itu.

Masih ramai kalangan rakyat yang belum bersedia menghadapi kenyataan untuk mengubah keadaan ke arah yang lebih adil dan saksama. Sudah tentu untuk mengubah realiti politik dan persepsi, ia memerlukan masa.
Malah, ia memerlukan iltizam dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, untuk memecahkan tembok hegemoni budaya yang mengongkong minda.

NAJIB AKAN DIDAKWA, KES ALTANTUYA DIBUKA SEMULA